1.12.09

Taktik pengaruh AS

(Kosmo)


MAJLIS pembukaan Lincoln Center di Gardez, Afghanistan pada pertengahan Oktober lalu berlangsung dalam suasana penuh meriah.


SYED membelek buku-buku dan komputer di Lincoln Centre di Gardez sambil membetul-betulkan jaket yang dipakai bersama selendang tradisional masyarakat Afghanistan.

"Kami tidak ada banyak buku untuk dibaca atau diulang kaji di sekolah," kata remaja berusia 15 tahun itu. Kemudahan yang disediakan di sekolahnya hanya yang asas sahaja. Itulah yang terbaik buat mereka.

"Kami boleh datang ke sini dan belajar mengenai dunia dan Amerika," tambah Syed.

Pusat itu dilengkapi dengan kemudahan enam buah komputer termasuk buku kanak-kanak dan rujukan kerja, selain majalah, cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD). Di dalam sebuah bilik, kemudahan di situ akan membuatkan anda berasa seolah-olah berada di sebuah bandar perpustakaan umum di Barat.

Novel grafik X-Men dan sebuah novel klasik kanak-kanak Maurice Sendak, Where The Wild Things Are, bahan bacaan mengenai Islam dan seni di Amerika Syarikat (AS), majalah baru serta audio biografi Presiden Amerika Barack Obama turut terdapat di pusat tersebut.

Lincoln Centre dibuka sebagai sebahagian daripada perancangan AS untuk memenangi hati dan minda anak muda Afghanistan sekali gus memberi 'kunci' kepada negara Uncle Sam itu untuk menentang Taliban.

Berikutan kejayaan pembukaan pusat tersebut yang kini menjadi tumpuan anak muda Afghanistan, sebanyak 10 buah lagi pusat seperti itu telah dirancang untuk dibuka di Afghanistan.

Sungguhpun Afghanistan adalah sebuah negara konservatif besar yang menentang pengaruh Barat, namun kewujudan pusat itu tidak pula mendapat tentangan daripada kerajaan negara tersebut.

Dalam pada itu, pembukaan pusat pada bulan lalu telah mendorong Ketua Pembangunan dan Hal Ehwal Ekonomi Kedutaan AS di Afghanistan, E. Anthony Wayne, memberitahu warga tua dan ahli politik di seluruh dunia 'mengenali dunia' seperti mana anak-anak muda Afghanistan mengenalinya di perpustakaan awam percuma seperti itu.

"Kami harap, pembukaan pusat ini akan membenarkan kami membina benteng persefahaman antara anak muda di kedua-dua buah negara," kata Wayne yang merupakan bekas pegawai diplomatik AS ke Argentina.

Bagi Syed dan rakan-rakannya, mereka seperti mendapat satu idea baru apabila berada di situ. Malah, mereka berharap dapat belajar bahasa Inggeris seperti kanak-kanak lain seusianya di sebelah barat.

Di Afghanistan, kira-kira 80 peratus penduduk tidak berpelajaran. Justeru, menguruskan pendidikan adalah menjadi satu matlamat utama pasukan yang diketuai oleh AS di daerah yang dibangun semula di wilayah Paktya. Ibu kota wilayah itu adalah Gardez.

Gardez terletak di bahagian selatan berdekatan kawasan pergunungan di sempadan Pakistan, sebuah negara yang didakwa AS sebagai penyokong kuat Taliban.

Di bawah pemerintahan Taliban, anak gadis dan wanita dilarang pergi ke sekolah. Bagaimanapun, anak-anak lelaki dan perempuan yang meminta pen dan kertas daripada pekerja di lorong-lorong sekitar Gardez sebelum ini, tidak lama lagi akan berada di dalam sebuah pusat pendidikan yang dibina dengan peruntukan sebanyak AS$1.3 juta dolar (RM4.4 juta). Pembinaan pusat pendidikan baru itu dibiayai dengan bantuan AS.

Pusat pendidikan itu memfokus kepada pembelajaran cemerlang dan kemahiran yang mana ia mempunyai makmal komputer, kelas menjahit dan bengkel. Kemudahan di bilik darjah di pusat tersebut boleh menampung lebih daripada 1,000 pelajar lelaki dan perempuan daripada umur enam hingga 22 tahun dari sekitar Paktya.

Projek sumbangan AS itu dikatakan menelan belanja yang agak besar berikutan penggunaan kenderaan yang sesuai termasuk helikopter untuk menghubungkan Gardez dengan dunia luar.

"Kos pengurusan Lincoln Centre itu pula menelan belanja kira-kira AS$2,000 dolar (RM6,800) sebulan," kata Kabul, seorang pegawai daerah tempatan.

Tetapi Wayne berpendapat, sungguhpun kos itu agak tinggi, namun ia penting untuk AS melawan puak ekstremis di Afghanistan.

"Melalui pembelajaran, kami harap ia dapat mengubah pemikiran anak muda Afghanistan. Isu berhubung agama pula dapat diselesaikan menerusi cara mereka sendiri," kata Wayne kepada seorang wakil pelajar tempatan pada majlis pembukaan Lincoln Centre pada pertengahan bulan Oktober lalu.

"Garis panduan yang menyentuh tentang pendidikan dan agama telah disediakan. Ia adalah yang pertama disediakan termasuk kurikulum dan pendidikan agama untuk lelaki dan perempuan," ujarnya.

Menurut Suleiman Khil, 58, dari daerah Jankhil, beliau mempunyai pengalaman dan kisah silam yang menyedihkan di Afghanistan sehingga meninggalkan kesan pada raut wajahnya.

"Inilah yang mereka mahukan," katanya kepada AFP.

"Sebelum ini, penduduk di sini terpaksa ke Pakistan untuk mendapatkan ilmu. Malangnya, ilmu yang diperoleh itu mendorong mereka berfikiran salah terhadap agama. Ia lebih kepada pembersihan minda.

"Kami mahu anak-anak kami tinggal dan belajar di sini dengan cara mendalami agama yang sebenar tanpa menolak kehidupan yang lebih moden,"tambahnya.

Seorang tentera AS berpangkat sarjan, Quitze Kitty Garcia yang berpangkalan di Gardez berkata, pembukaan pusat pendidikan tersebut tidak bermaksud untuk menerapkan budaya hidup Barat ke dalam kehidupan penduduk.

"Ekstremis tidak mahukan pengaruh Barat. Mereka juga tidak mahu diasingkan. Tetapi misi kami bukan kepada kebaratan atau menjadikan mereka cinta kepada 'rakan' atau 'pepsi," katanya.

Khil yang mengagumi perbezaan budaya itu menambah: "Jika rakyat Amerika bina apa sahaja institusi yang menggalakkan pendidikan penduduk di sini, hubungan dengan mereka akan menjadi lebih rapat." - AFP

No comments: