3.12.09

Iran tahan lima kelasi Britain

ARKIB : 02/12/2009

(Utusan Malaysia)

LONDON 1 Dis. - Lima kelasi Britain ditahan di Iran selepas tentera laut Teheran merampas kapal layar mereka yang dipercayai memasuki perairan Iran secara tidak sengaja, dalam insiden yang meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara hari ini.

Mereka berlima sedang berlayar untuk menyertai perlumbaan di Dubai apabila kapal layar mereka ditahan di Teluk Parsi pada 25 November lalu, umum Jabatan Luar Britain.

"Kapal layar itu dalam perjalanan dari Bahrain ke Dubai dan mungkin telah memasuki perairan Iran dengan tidak sengaja.

"Kelima-lima krew itu masih berada di Iran, kesemuanya dilaporkan selamat dan dalam keadaan baik dan ahli keluarga mereka sudah dimaklumkan," menurut kenyataan Jabatan Luar.

Kejadian itu mirip peristiwa 15 kelasi Britain ditahan oleh Iran pada 2007. Mereka dibebaskan kira-kira dua minggu kemudian, tetapi hanya berikutan konfrontasi diplomatik antara London dengan Teheran.

Hubungan antara Teheran dengan Barat, khususnya Britain belum pulih sejak insiden itu, malah bertambah tegang selepas Iran kelmarin mengumumkan rancangannya untuk membina 10 lagi loji pengayaan uranium.

Kapal layar 'Kingdom of Bahrain' itu dipercayai hanyut ke perairan Iran selepas kipasnya patah dalam perjalanan untuk menyertai Perlumbaan Layar Luar Pesisir Dubai-Muscat yang bermula pada 26 November lepas, lapor media Britain.

Krew kapal layar milik Sail Bahrain itu terdiri daripada Oliver Smith, Oliver Young, Sam Usher, Luke Porter dan David Bloomer.

Setiausaha Luar, David Miliband berkata, pegawai Britain sudah menghubungi pihak berkuasa Iran di London dan Teheran untuk meminta penjelasan dan cuba menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

Miliband juga sedang berusaha untuk menelefon rakan sejawatannya dari Iran, Manouchehr Mottaki. - AFP

No comments: