4.12.09

EU dijangka iktiraf ibu kota Palestin

(Sinar Harian)

KAHERAH - Mesyuarat menteri-menteri luar Eropah minggu depan dijangka meluluskan draf resolusi untuk mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota bagi negara Palestin merdeka pada masa akan datang.

Kesatuan Eropah (EU) menggesa rundingan damai Israel-Palestin disambung semula untuk mencapai penyelesaian dua negara, menurut draf resolusi yang disiarkan akhbar Haaretz kelmarin.

Israel menceroboh kota suci Baitulmaqdis semasa perang 1967 dan kemudian merampasnya dalam gerakan yang mendapat bantahan komuniti antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sejak itu, Israel bertindak ganas menghalau penduduk Palestin meninggalkan Baitulmaqdis yang menjadi tempat suci ketiga Islam.

Menurut draf resolusi itu, EU mengulangi pendirian untuk tidak mengiktiraf pencerobohan ke atas Baitulmaqdis Timur.

"Jika terdapat hasrat untuk mencapai keamanan tulen, jalan mesti dicari untuk menyelesaikan status Baitulmaqdis sebagai ibu kota kepada dua negara," kata draf resolusi itu.

Menteri-menteri Luar EU, yang dijadualkan bersidang di Brussels pada 7 Disember ini, juga akan menuntut supaya sebarang unsur provokasi di kota suci itu ditamatkan.

Kerajaan Israel baru-baru ini meluluskan pembinaan 900 unit rumah baru di kawasan penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur.

No comments: