9.12.09

Demonstrasi besar di Iran

(Utusan Malaysia)


Mahasiswa wanita Iran yang pro-kerajaan berhimpun beramai-ramai sambil berteriak dan membawa poster pengasas revolusi, Ayatollah Khomeini di Kampus Universiti Teheran, semalam. - AP


TEHERAN 8 Dis. - Beribu-ribu mahasiswa yang membawa sepanduk dengan tulisan berbunyi 'Kematian untuk Diktator' manakala yang lain bertindak membakar gambar pemimpin tertinggi Iran, membanjiri jalan-jalan raya di lebih 12 kampus di republik ini, semalam dalam satu bantahan anti kerajaan terbesar di Iran dalam masa beberapa bulan.

Polis antirusuhan dan pasukan separa tentera pro kerajaan, Basij yang menaiki motosikal dikerah mengawal jalan-jalan utama di Teheran, kelihatan memukul lelaki dan wanita dengan belantan apabila kumpulan penunjuk perasaan mula bertindak melempar batu bata.

Sesetengah penunjuk perasaan turut membakar tayar dan tong-tong sampah.

"Kematian kepada penindas, sama ada golongan raja atau pemimpin,'' laung mahasiswa itu sambil membuat perbandingan berani antara pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan Maharaja Iran yang pro Amerika Syarikat (AS), Mohammad Reza Shah Pahlavi yang memandang rendah Iran sejak maharaja itu di gulingkan semasa Revolusi Islam 1979.

Bantahan itu menggambarkan bagaimana mahasiswa universiti yang merupakan daya penggerak semasa Revolusi Islam 1979, telah menggiatkan semula gerakan anti kerajaan, biarpun ketika pemimpin pembangkang kebanyakannya bertungkus-lumus cuba menjejaskan kuasa Presiden Mahmoud Ahmadinejad serta pemimpin-pemimpin agama.

Dalam kawasan Universiti Teheran, pergaduhan tercetus antara penunjuk perasaan dengan pelajar yang setia kepada kerajaan.

Dalam satu gambar yang diperoleh Associated Press, seorang mahasiswa memakai cekak rambut berwarna hijau (tanda warna pembangkang) dilihat cedera dengan darah mengalir di mukanya akibat dipukul.

Bantahan di universiti itu turut merebak ke jalan-jalan raya dan kawasan terbuka berhampiran, malah menurut saksi, mereka turut mendengar bunyi tembakan di jalan Enghelab.

Bantahan turut berlaku di tujuh universiti lain di Teheran dan beberapa kampus lain di sekurang-kurangnya enam bandar.

Mahasiswa memainkan peranan utama dalam demonstrasi revolusi pada 1979 yang telah menggulingkan maharaja Iran dan mengangkat pemimpin agama sebagai pemerintah. - AP

No comments: