1.12.09

Mujtahid perlu faham manfaat dan mudarat

(Utusan Malaysia)


Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid


MALAYSIA mengamalkan Mazhab Syafie dan ia telah diwartakan sebagai mazhab rasmi dalam hampir semua perlembagaan dan undang-undang negeri.

Justeru, majoriti umat Islam menggangap mereka mesti mengamalkan mazhab tersebut secara tegar tanpa bertolak ansur, walaupun ada keperluan munasabah yang membenarkan.

Namun, dalam beberapa aspek seperti ibadat haji dam zakat, kelonggaran untuk menerima pandangan lain telah diperakukan.

Dalam Islam, semua hukum itu yang terangkum dalam maqasid syariah atau matlamat syariah tertakluk kepada prinsip maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) bagi manusia.

Maqasid syariah adalah memelihara lima perkara iaitu menjaga agama, akal, nyawa, harta dan keturunan (maruah)

Konsep maslahah itu maksudnya, semua perbuatan manusia yang boleh membawa kebaikan hukumnya halal atau sebaliknya. Sementara apa yang membawa kepada keburukan hukumnya haram atau sebaliknya.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, berasaskan kepada prinsip inilah para fuqaha berpendapat, "bila ada maslahah di situ ada hukum".

Maksudnya, hukum selama-lamanya ditentukan oleh maslahah dan kepentingan hidup umat manusia.

Bagaimanapun, kata beliau, bukan semua fuqaha berpendirian sedemikian. Malah ada di antara mereka yang menolak konsep maqasid syariah secara total.

Bagi mereka, konsep ini memberi erti setiap hukum perlu ada asas yang boleh ditanya mengapa yang disebut al-ta'lil (menentukan alasan) dalam usul fiqh.

"Maka oleh kerana hukum itu dicipta oleh Allah ia akan bererti Allah boleh ditanya mengapa dan apa objektif serta tujuan mencipta hukum berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ijtihad, Taklid dan Talfiq dari Perspektif Maqasid al-Syariah' dalam seminar Taklid, Ijtihad dan Talfiq: Skop, Amalan dan Batasan baru-baru ini.

Ia dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Seminar sehari setengah itu dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Objektif seminar antara lain adalah mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor-faktor yang mendorong kemunculan dan penggunaannya.

Ia juga bagi meningkatkan kefahaman tentang objektif undang-undang Islam dan menegaskan bahawa ia sesuai untuk semua keadaan, tempat dan zaman.

Sebanyak 11 kertas kerja dibentangkan termasuk pengalaman amalan talfiq dan taklid di Indonesia dan Brunei.

Seminar yang mendapat sambutan menggalakkan itu turut menarik penyertaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid.

Menurut Mahmood Zuhdi, bagi merealisasikan maqasid syariah sebagai pendekatan dalam berijtihad seseorang mujtahid atau penyelidik perlu memahami dengan mendalam maksud manfaah (manfaat) dan madharrah (mudarat).

Katanya, mereka juga perlu objektif dalam membuat penilaian melalui merujuk keseluruhan hukum syarak dan kemudian merumuskan prinsip dalam bentuk yang menyeluruh.

"Ini supaya kemudiannya mudah diaplikasi apabila berhadapan dengan persoalan yang memerlukan penentuan sama ada perbuatan itu boleh dikelaskan kebaikan atau keburukan," jelas beliau.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, walaupun undang-undang syariah berpaksikan wahyu, banyak ruang diberi kepada manusia untuk menggunakan akal fikiran secara bebas bagi mencapai kesempurnaan dalam perundangan.

"Para fuqaha dan mufti perlu menjadi pelopor kepada penerokaan dan pengembangan hukum syarak agar sejajar dengan peredaran masa dan tempat," katanya yang bertugas sebagai Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara.

Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya bertajuk 'Beberapa Manifestasi Penggunaan Ijtihad dan Talfiq Dalam Peruntukan-peruntukan Statut Moden di Malaysia'.

Menurut Sheikh Ghazali, dalam peruntukan undang-undang di Malaysia, ijtihad dan talfiq banyak digunakan dan penggunaannya agak meluas.

Sebagai contoh, dalam pembubaran perkahwinan. Kuasa mahkamah untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh kerana berlakunya dhirar terhadap isteri adalah satu bentuk talfiq kerana mengambil pandangan Mazhab Maliki.

"Sedangkan dalam Mazhab Syafie pembubaran perkahwinan melalui fasakh atas alasan dhirar tidak dibolehkan," jelas beliau.

Sheikh Ghazali turut menekankan kepentingan ijtihad dan talfiq dalam produk-produk perbankan Islam dan takaful.

Katanya, banyak produk telah diperkenalkan dalam sistem perbankan Islam dan takaful di Malaysia yang berdasarkan beberapa mazhab tanpa berpegang kepada Mazhab Syafie sahaja.

"Justeru, Ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah di institusi perbankan boleh dianggap sebagai mujtahid yang bertanggungjawab melakukan ijtihad dengan mengkaji pandangan ulama terdahulu atau mencari pandangan yang terbaik daripada pandangan-pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Pegawai Istinbat Kanan Jabatan Mufti Brunei Darussalam, Awang Dennie Abdullah berkata, mengikut disiplin mazhab tidak dibolehkan dan dianggap tidak sah berfatwa dengan pendapat ulama-ulama dari mazhab lain.

Katanya, walaupun Mufti Mazhab Syafie tidak boleh berfatwa dengan mazhab lain, bukan semua persoalan semestinya berdasarkan fatwa Mazhab Syafie.

Menurut beliau, Ada beberapa perkara yang dikecualikan dalam keadaan tertentu termasuk ketika berpindah mazhab.

"Misalnya, dalam persoalan zakat ada tiga perkara yang boleh berfatwa dengan mazhab lain yakni Mazhab Hanafi.

"Yang pertama, persoalan memindahkan zakat. Kedua, memberi zakat seseorang kepada satu asnaf sahaja dan ketiga, memberi zakat seseorang kepada seorang saja," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk 'Taklid-Talfiq di Negara Brunei Darussalam: Keperluan dan Pengalaman'.

Awang Dennie berkata, persoalan taklid kepada pendapat ulama-ulama Mazhab Syafie di Brunei masih berlaku dan masih relevan serta diperlukan.

Namun, kata beliau, sesetengah perkara yang berbangkit ada juga yang tidak jelas kewujudan hukumnya dalam kajian dan ijtihad itu, seperti dalam persoalan muamalat.

"Jadi, ketika ini akan dibincangkan tentang hukumnya oleh beberapa orang tetapi tetap juga merujuk hasil kajian dan ijtihad daripada pelbagai sudut," katanya.

No comments: