1.12.09

'Akhirat' cara Hollywood

(Utusan Malaysia)


ANTARA babak-babak yang mencemaskan dalam 2012.


DUNIA hari ini di ambang kemusnahan dengan peperangan yang cukup membimbangkan dunia. Kemusnahan alam yang besar seperti banjir, ribut, gempa bumi dan tsunami meletakkan ketakutan dan kebimbangan manusia di kemuncak segala perasaan. Manusia sentiasa bimbang tentang kemusnahan masa depan yang bakal dihadapi mereka.

Dan takut menjadi satu elemen penting yang digunakan oleh pembikin filem untuk menarik perhatian penonton. Roland Emmerich yang sebelum ini menghasilkan filem-filem epik kemusnahan seperti Independence Day (1996) dan The Day After Tomorrow (2004), kali ini memberitahu khalayak bahawa dunia akan berakhir dalam 2012.

Filem begini bukan untuk mereka yang pasif. Soalnya mengapa penonton teruja dengan filem-filem begini? Apakah kerana khalayak penonton terlalu berani untuk mengalaminya?

Keterujaan penonton terjadi kerana mereka menonton di pawagam dan mereka tahu yang mereka selamat akhirnya. Yang penting filem bertemakan kemusnahan akan memberikan harapan baru di akhir cerita. Kemusnahan telah menjadi satu genre dalam seni filem. Keupayaan imej janaan komputer (CGI) pula melengkapkan lagi efek khas yang menjadi nadi bagi genre ini untuk memastikan gambaran visual yang dialami lebih realistik.

Kemusnahan mega ini sebetulnya telah menjadi sub-genre filem ini. Dalam tulisan saya di Skrin (6 Oktober) tentang filem Tsunami di Haendae, saya mencatatkan filem kemusnahan bukanlah genre baru bagi sejarah filem. Genre kemusnahan sudah muncul seawal sejarah filem itu sendiri. Tetapi kemajuan teknologi perfileman dan penggunaan efek khas pada dekad 1970-an telah membawa kepada era kebangkitan genre ini yang bermula dengan filem Airport (1970, George Seaton), diikuti oleh The Poseidon Adventure (1972, Ronald Neame), The Towering Inferno (1974, John Guillerman) dan Earthquake (1974, Mark Robson). Kemunculan filem Jaws (1975) arahan Stephen Spielberg memberikan definisi baru elemen kemusnahan dan ancaman yang menakutkan dalam genre ini, tetapi di sebalik ancaman ketakutan ini penonton sebenarnya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Keadaan ini memberikan mereka kesan keseronokan dan kepuasan emosi.

Sebagai sebuah genre, filem tentang kemusnahan mega ini sudah mempunyai cirinya sendiri. Bentuk dan dasar filem ini sememangnya sudah dapat diduga oleh khalayak filem.

Filem genre ini juga sering dilihat berkembang seiring dengan filem fiksyen sains.

Dalam banyak filem genre ini, ahli sains mempunyai peranan memberikan maklumat dan nasihat tetapi seringnya dipandang sinis oleh ahli politik atau golongan kapitalis.

Dalam 2012, ancaman datang daripada alam. Ahli sains Dr. Helmsley (Chiwetel Ejiofor) memperoleh maklumat mengenai perubahan cuaca dan pergerakan di perut bumi daripada ahli geologi India dan segera memaklumkan kepada ketua staf Rumah Putih, Carl Anhueser (Oliver Platt).

Sekumpulan negara maju memulakan projek menyelamatkan manusia dengan membina bahtera gergasi di kawasan Himalaya di China untuk menghadapi gelombang yang membawa kepada kemusnahan dunia.

Persoalannya, di mana mereka mendapat ilham ini?

Filem ini mengambil inspirasi dengan rujukan daripada kitab-kitab agama tentang Nabi Noh yang membina bahteranya untuk menyelamatkan manusia daripada bah besar.

Elemen interteks daripada mitos dan ajaran agama sebenarnya sebahagian daripada elemen dalam filem genre begini. Dalam sebuah epik kemanusiaan seperti 2012, bencana alam hanyalah katalis untuk melihat bagaimana manusia berdepan dengan konflik manusia menyelesaikan krisis kemanusiaan.

Bagi khalayak penonton mereka akan terus berasa selamat dengan adanya watak seperti Jackson Curtis (John Cusack) seorang penulis fiksyen sains yang perlu menyelamatkan keluarganya.

Filem epik kemusnahan memang bergantung kepada kekuatan efek khas CGI dan khalayak akan kagum dengan keupayaan teknologi efek khas mencipta realiti baru kemusnahan luar biasa.

Tetapi selepas menyaksikan bangunan tinggi runtuh, jambatan roboh, ombak besar menenggelamkan kota dan jutaan manusia mati tetapi tanpa plot yang mampu menggerakkan kekuatan watak dan elemen kemanusiaan, khalayak tidak akan merasakan apa-apa kesan sebenarnya.

Mampukah imej-imej janaan CGI ini memberikan kesan yang emosional? Kemusnahan dan kematian berjuta hanya sekadar imej spektakular yang dikagumi, tetapi kesan emosinya sering dipersoalkan.

Dalam 2012, mengapa Roland Emmerich memusnahkan Rumah Putih dan mengorbankan Presiden Amerika (apakah kerana dia gagal melakukannya dalam Independence Day dan The Day After Tomorrow)?

Seorang Russia digambarkan sebagai seorang kapitalis yang sanggup membeli tiket bahtera yang begitu mahal dan membawa puluhan kereta mahal bersamanya?

Dan mengapa di China usaha menyelamat dijalankan? Atas keputusan politik atau ekonomi?

Untuk sementara, tontonlah filem ini untuk merasakan kebimbangan dan ketakutan, tetapi jangan risau anda sebenarnya selamat.

No comments: