28.1.09

DEMO JAHANAM ISRAEL MAMPUS AMERIKA

Demo membantah pencerobohan Israel/Yahudi laknatullah dihadapan bangunan Kedutaan Amerika telah diadakan pada 16 Januari 2009, anjuran jemaah Ahlulbait dari Hauzah Imam Ar-Ridha, Gombak. Demo yg dimulakan sejurus usai solat Jumaat ini turut disertai oleh jemaah AB dari Kedah/Perlis/P.Pinang. Dengan laungan "Mampus Amerika! Jahanam Israel! Laknat Bush!", aktivis demo yg turut 'diringi' oleh sepasukan FRU berjalan secara aman & terkawal.

Antara NGO yg turut serta pada petang yg penuh emosi tersebut ialah Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), wakil drpd PAS & GABEM.

Demo disudahi dengan lafaz "akujanji" untuk memboikot produk & jenama keluaran Amerika & sekutu zionis. Boikot ini akan berterusan InsyaAllah selagi mana Israel laknat tidak berundur dari bumi Palestin, tanah suci & qiblat pertama umat Islam...SOLAWAT!

13.1.09

ASYURA : SEJARAH YANG PERLU DIIMBAU

Oleh : Helmi Mohd Foad (Wartawan UTUSAN)

Pada 1 Muharram setiap tahun, ummat Islam merayakan sambutan Ma'al Hijrah, bergembira atas kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam. Sambutan itu tidak disebut dalam al-Quran atau nas Sunnah Nabi (saw) secara terus terang namun ia tetap dianggap sebagai perayaan ummat Islam.

Ironinya ummat Islam masih lebih cenderung meraikan secara berlebihan-lebihan tahun baru Masihi baru-baru ini termasuk dicemari dengan perbuatan songsang lantas mencemarkan kemuliaan Muharam.


Kemuliaan Muharram yang pada hari itu kita berselawat memuji-muji Rasulullah (saw), satu amalan yang diperintah oleh Allah (swt). Kita alunkan nasyid-nasyid seperti 'Tala'al Badru 'Alaina' bagi mengingati kembali betapa gembiranya kaum Ansar sewaktu menyambut kehadiran Rasulullah (saw) bersama kaum Muhajirin di Madinah. Hijrahnya Rasulullah (saw), menandakan tamatnya segala penindasan ke atas golongan mustadh'afin (golongan tertindas dan lemah) lantas membuka era baru dalam perkembangan Islam, darinya juga bermula sebuah negara yang berlandaskan kepemimpinan Ilahiah.

Namun bulan Muharram juga mengingatkan kita semua tentang peristiwa besar yang pernah terjadi dalam sejarah tamadun manusia selepas zaman Rasulullah (saw) iaitu pada 10 Muharram 61 Hijrah yang menyaksikan cucu kesayangan baginda, Imam Husain bin Ali (as) bersama rombongannya dibunuh dengan kejam di bumi Karbala.

Jika Ma'al Hijrah, ummat Islam bergembira, peristiwa 10 Muharram pula disaduri dengan kesedihan. Tetapi apabila disebut, kita sambut 10 Muharram dengan ingatan pada peristiwa Karbala, ia sering kali dianggap sesuatu yang asing, sesat lagi menyesatkan. Benarkah begitu?

Kerana ia selama ini disambut dengan penuh emosi oleh para pengikut mazhab Ahlul Bait tetapi tidak di sisi para pengikut mazhab Ahlus Sunnah amnya. Bagaimanapun tradisi di rantau ini yang bermazhab Ahlus Sunnah begitu rapat dengan 'Asyura sebagaimana rapatnya masyarakat sebelah sini dengan ritual seperti tahlil dan marhaban yang didatangkan dari Hadhratulmaut.
Semuanya dikaitkan dengan ingatan terhadap Ahlul Bait.

Bergantung kepada budaya setempat, 'Asyura (versi Ahlul Bait?) disambut seperti di ibu kota Teheran, Iran; Karbala, Iraq; Lucknow, India dan Nabatiyeh, selatan Lebanon, malah tidak ketinggalan di serata tempat termasuk di Malaysia. Hari mereka berdukacita dari 1 Muharram sampailah kepada 10 Muharram dan ia berlanjutan selama 40 hari perkabungan (Arba'in).

Ya, semua itu tiada dalam al-Quran dan Hadis Nabi (saw) secara berterus terang sebagaimana sambutan Ma'al Hijrah. Tetapi peristiwa penjarahan kejam terhadap Imam Husain (as), ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya oleh tentera 'Umar bin Sa'ad di Karbala membuka lembaran sejarah kepada ummat.

Ia tidak seharusnya menjadi milik para pengikut mazhab Ahlul Bait semata-mata tetapi ia juga milik seluruh ummat yang cintakan perdamaian dan kebencian pada kezaliman. Kerana Ahlul Bait adalah warisan tinggalan Rasulullah (saw) buat pegangan seluruh ummat selepas al-Quran.

Menyambut 10 Muharram dengan mengingati Imam Husain (as) bukan bererti kita semua menjadi 'Syiah' atau 'Rafidhah'. Tetapi mengingati kesyahidannya di Karbala adalah sebahagian dari rasa cinta dan sayang pada belahan jiwa Rasulullah itu.

Sebagaimana yang diulang sebut dalam tahlil kita, ''Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai Ahlul Bait dan menyucikan kamu dengan sesuci-sucinya"
(al-Ahzab : ayat 33).

Justeru wajarkah manusia-manusia yang disucikan oleh Allah itu dibunuh dengan kejam. Layakkah insan yang dikasihi oleh Nabi (saw) diperlakukan sebegitu rupa. Ummat apakah kami ini, ya Allah? Jadi wajarkah kita tidak mempunyai secebis rasa sedih meskipun tidak beremosi bila mengenangkan sejarah hitam itu.

Ketika Imam Husain (as) menyaksikan dengan matanya, 'Ali Akbar dipanah dalam keadaan tekaknya kering kehausan. Tidak cukup itu, bayi kecil, 'Ali Asghar yang merengek-rengek perlukan air tetapi panah pula yang dilayangkan ke tubuhnya.

Bagi mereka yang begitu rapat dengan sejarah itu, emosinya membuak-buak, linangan air mata tidak dapat dibendung lagi. Kadang kala kerana faktor budaya setempat, ada yang terdorong melukakan badan mereka, mungkin ingin merasai penderitaan Imam Husain (as) dan ahli keluarganya serta para sahabatnya.

Apa peliknya jika bekas Presiden Mesir, Gamal Abdul Naser mati dibunuh oleh Khalid Islamboli, ada juga orang Mesir meratap hingga membunuh diri, inikan pula cucu Nabi (saw) yang dibunuh. Jadi tidak mustahil ada yang bertindak terlalu emosi dan meluahkan segala-galanya.

Namun wajarkah mereka yang dikatakan sebagai pengamal bid'ah itu dihapuskan dan dihalalkan darah mereka dengan aksi letupan bom sebagaimana yang sering terjadi di Pakistan dan juga Iraq apabila golongan bermazhab Ahlul Bait beramai-ramai keluar menyambut 'Asyura secara terbuka selepas puluhan tahun dihalang oleh rejim Saddam Hussein.

Seharusnya ummat Islam kini tidak lagi dibebankan dengan pertelingkahan sejarah lama. Ketika ada yang marah kerana sambutan 'Asyura, sebenarnya Karbala moden sedang berlaku dan 'Asyura terus menangis.

Bumi Gaza dibedil, dijarah sejak 27 Disember lalu. Serangan darat yang telah dimulakan oleh tentera Zionis tidak mengenal kanak-kanak, bayi dan wanita. Sasarannya membabi buta; masjid, hospital dan pasar.

Tentera rejim itu tiada bezanya dengan kekejaman 'Umar bin Sa'ad atau Syimr bin Dzil Jausyan ketika di Karbala. Keadaannya juga sama, jika tiada seorang pun penduduk Kufah yang berani melawan kezaliman tentera Umayyah untuk menyelamatkan Imam Husain (as) yang sepatutnya mereka bai'ah sebagai pemimpin dan ikutan.

Begitu juga Gaza, tiada penguasa atau negara yang mampu melawan Israel. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mampu berbuat apa-apa meskipun Palestin adalah isu yang melibatkan sama ada Sunnah atau Syi'ah.Kita hanya mampu berdemonstrasi, melaung-laungkan 'Jahanam Israel!','Hidup Islam!' atau 'Hancur Amerika!' dan setidak-tidaknya menghulurkan bantuan kemanusiaan. Itu semua sekadar tindakan ad-hoc untuk Palestin.

Selepas itu, masing-masing pulang ke rumah boleh bersuka ria dan bergelak ketawa di bulan Muharram ini. Tetapi 'Asyura membuatkan penderitaan Palestin terasa dekat di hati.Ahli sejarah al-Makrizi dalam kitabnya 'al-Khuthath' sebagaimana yang dipetik dari tulisan Dr Jalaluddin Rakhmat menyebut; ''Dinasti Fatimiah di Mesir menjadikan 'Asyura sebagai hari dukacita (mengenang kematian Imam Husain di Karbala)… Ketika Bani Ayyub merebut Mesir, mereka menjadikan hari itu hari kegembiraan… Melanjutkan tradisi orang Syam yang dirintis oleh al-Hajjaj pada zaman Abdul Malik bin Marwan.''

Untuk catatan, sepanjang ratusan tahun Hijrah, mimbar masjid di zaman Umaiyyah diperintah untuk melaknat Imam Ali (as) sehinggalah ia ditamatkan oleh Khalifah 'Umar 'Abdul 'Aziz
yang mengubahnya kepada kalimah dari ayat Quran,''Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu kepada keadilan dan ihsan.''

Jalaluddin dalam bukunya, 'Meraih Cinta Ilahi...Pencerahan Sufistik' mengungkapkan setiap kali 'Asyura, pengikut Imam 'Ali (as) di Karbala merekonstruksi peristiwa itu dan merintih penuh nestapa.

Mereka berteriak, 'Setiap Hari Adalah Asyura Dan Setiap Bumi Adalah Karbala'. Kita baca ungkapan itu sebagai 'Setiap hari adalah perjuangan dan di mana saja kita berpijak itulah bumi perjuangan'...Selawat!

Lantas 'Asyura bukan sekadar menjadi lambang penentangan kezaliman pemerintah dalam Dinasti Umaiyyah. Memandangkan Khilafah ketika itu mendokong aliran mazhab Ahlus Sunnah, maka ada pihak yang menganggap sambutan 'Asyura adalah lambang penentangan kepada mazhab Ahlus Sunnah.

Namun sebenarnya 'Asyura adalah sumbu penolakan kepada sebarang kekejaman dan penindasan ke atas golongan mustadh'afin. Gelombang semangat 'Asyura jugalah satu ketika dulu menumbangkan Syohansyah Reza Pahlawi atau Shah Iran oleh pendukung garisan Imam Khomeini (qs), meskipun 'raja segala raja' itu adalah seorang 'Syiah'.

Sambutan 'Asyura tahun demi tahun itulah yang menyalakan semangat penentangan ke atas tentera Israel oleh Hizbullah, pimpinan Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah yang mengisytiharkan kemenangan dalam peperangan selama 33 hari dengan rejim itu pada 2006 dan Hizbullah secara jelas mengiktiraf kepimpinan 'Wilayatul Faqih' di Iran.

Dengan semangat menentang kezaliman itulah juga Presiden George Bush dimalukan oleh seorang wartawan, Muntazhar az-Zaidi, seorang yang bermazhab Ahlul Bait dengan lontaran jamrah 'kasut but' bersaiz '10' itu.

Oleh itu, apabila membaca sejarah Karbala, ia sebenarnya terlalu dekat dengan apa yang telah berlaku sekarang dan mengajak kita berfikir bagaimana harus dilakukan untuk merubah nasib ummat. 'Asyura adalah menyatakan rasa sedih dan meluahkan kecintaan mendalam kepada Imam Husain (as), ahli keluarganya dan para sahabatnya sebagaimana Nabi (saw) pernah menyatakan rasa sedemikian rupa pada cucunya itu.

PROGRAM YG TELAH DIJALANKAN SEPANJANG 2008

1. Hari Keluarga Jemaah Ahlul Bait

Program di jalankan di Hutan Lipur Bkt. Wang pada 29.11.08 – 30.11.08. Dihadiri seramai 60 orang jemaah, program bermula dari jam 12.00 tghari hingga jam 8.00 pagi keesokan harinya. Antara aktiviti yg dijalankan ialah persembahan Kelab Remaja Itrah & ceramah yg disampaikan oleh Y. Bhg Ust. Jamil Ahmad.


2. Penubuhan Tabung Khairat Kematian Jemaah AB

Hasil daripada mesyuarat Jawatankuasa pada 26/12/08. maka satu persetujuan telah diambil untuk menubuhkan Tabung Khairat Kematian & Kebajikan (T3K) untuk para jemaah AB. Tabung ini akan dilancarkan pada hari Asyura di Husainiyah Az-zahra. Keahlian akan dibuka kepada semua keluarga. Caruman yg dikenakan ialah RM120.00 setahun.


3. Kempen Derma Darah

Satu kempen derma darah telah diadakan pada 6 Muharram/3 Januari 2009. Sambutan dari warga AB agak memberansangkan. Sejumlah kira-kira 20 beg darah berjaya disumbangkan pada hari tersebut.

4. Sambutan Hari Asyura 1430H

Bermula dari 29.12.08 hingga kemuncak pada hari 10 Muharram/7 Januari 2009. Malam-malam asyura dipenuhi dengan pembacaan ziarah Imam Husayn a.s, ceramah asyura yg disampaikan oleh penceramah yg dijemput khusus & majlis maktam yg dikepalai oleh AJK Biro Kebudayaan serta ikhwan yg berkebolehan