23.3.09

SAIDINA ALI DALAM KARYA-KARYA MELAYU

PERBICARAAN ini adalah rentetan daripada judul terdahulu iaitu Pengaruh dan Pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu: Satu Analisis) Berdasarkan Karya-Karya Klasik Melayu, yang mana telah dibicarakan mengenai dua nama Saidina Ali K.W yang tidak terdapat pada sahabat-sahabat lain dan keagungan nama beliau dalam karya sejarah.

Dalam perbicaraan tersebut juga dinyatakan bahawa pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi berbagai-bagai jurusan, sehingga ramai ulama-ulama silam Alam Melayu menghasilkan karya-karya mengenai beliau.

Kesinambungan dari itu, diperkenalkan pula pengaruh Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks pelbagai ilmu, iaitu ilmu Kalam, ilmu Hadis Nabi SAW dan ilmu Tasawuf.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu kalam

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengemukakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah pertikaian antara Saidina Ali dengan Mu'awiyah, iaitu, "Sudah ijma', adalah Saidina Mu'awiyah dan yang mengikut dia melawan Saidina Ali jadi "taifah baghiyah", tetapi nyata mereka itu kemudiannya kerana adalah Nabi sudah mengkhabarkan, yakni daripada hal Saidina 'Ammar. Dengan sabdanya: "Lagi akan membunuh akan dia oleh "taifah baghiyah".

Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menjelaskan, "Maka ia serta jemaah Saidina Ali, maka yang membunuh akan dia oleh jemaah Saidina Mu'awiyah. Maka nyata Saidina Ali ia yang sebenar khalifah dan Saidina Mu'awiyah melawan imam lagi khalifah. Tetapi tiada berdosa sebab ijtihad dan tiada diambil kesalahan mereka itu, kerana jika belum nyata diberi pahalanya satu, iaitu pahala ijtihad jua".

Daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tersebut, sangat jelas bahawa telah sepakat ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah bahawa Saidina 'Ammar yang berpihak kepada Saidina Ali adalah dibunuh oleh pengikut Saidina Mu'awiyah, bukan dari pihak lainnya.

Tetapi pada zaman sekarang ada pihak-pihak tertentu mendakwakan dirinya golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah, tetapi memutarbelitkan sejarah bahawa mereka mengatakan terbunuhnya Saidina 'Ammar bukan daripada pihak pengikut Saidina Mu'awiyah, tetapi adalah pengikut-pengikut Abdullah bin Saba'.

Kenyataan seperti tersebut ini tidak seorangpun ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah zaman silam, sama ada ulama silam dunia luar, mahupun ulama silam dunia Melayu.

Pendapat yang demikian jelas suatu pembohongan sejarah yang mesti ditolak kerana tidak terdapat rujukan dalam kitab-kitab yang muktabar yang dikarang oleh ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah sendiri, baik yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebagaimana ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang lain, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani berpandangan mengenai perselisihan antara para sahabat Nabi SAW memperingatkan kepada kaum Muslimin terutama golongan awamnya, kata beliau: "Dan barang yang berlaku antara sahabat perangan, kita diam daripadanya, Dan pahala ijtihad mereka itu kita i'tiqad diberi pahalanya.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mentafsirkan dalam Fathul Mannan, iaitu "Yakni barang yang berlaku bantahan dan perangan yang berbunuh padanya beberapa banyak sahabat dan lainnya, antara setengah sahabat dengan setengahnya, seperti hasil perang Saidina Ali dan Saidina Mu'awiyah, dan antara Saidina Ali dengan Siti Aisyah, wajib kita diamkan daripada masuk berkata jika tiada tahu ta'wilnya ... ".

Dijelaskan lebih lanjut dalam Warduz Zawahir, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Ketahui olehmu, adalah bahas barang yang berlaku antara bersalahan sahabat setengah dengan setengahnya, dan yang muafakat mereka itu demikian jua, tiada daripada 'aqaid agama. Dan tiada pula daripada 'aqaid kalam. Dan tiada pula daripada barang yang memberi manfaat pada agama tetapi adalah terkadang memberi mudarat jua dengan yakin. Dengan sebab itulah kata Umar bin Abdul Aziz, bahawa demikian itu, yakni "berbunuh antara sahabat darah yang disucikan oleh Allah daripadanya segala pedang kita ".

Maka jangan kita khilaf dengan lidah kita. Dan tiada harus pula kita masuk padanya bicarakan melainkan kerana mengajar atau kerana hendak menolakkan akan orang yang marahkan mereka itu, atau mengaji kutub (maksudnya: kitab-kitab) yang terkandung atas demikian ceriteranya. Ada pun orang yang awam maka tiada harus bagi mereka itu masuk padanya kerana sangat jahil mereka itu dan ketiadaan mengetahui ta'wilnya. Dan wajib atasmu ketika membicara pada barang yang perkelahian antara mereka itu menjauh akan penyakit hasad ... ".

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW

Dimaksudkan dengan judul ini dapat dibahagi kepada dua kelompok, iaitu: Pertama: karya Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu yang terdapat hadis Nabi SAW yang menyebut nama Saidina Ali padanya ataupun yang bersumberkan dari riwayat beliau. Kelompok yang pertama ini jumlahnya sangat banyak.

Kedua pula: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, juga termasuk perkara yang boleh dikatakan nadir.

lContoh bagi kelompok pertama, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, namun di sini tidak dapat dipaparkan hadis-hadis tersebut, melainkan terjemahan sahaja. Antara hadis yang menurut terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu "Aku benua ilmu dan Ali itu pintunya". Selanjutnya dikomentarkan, "Dan berkata Abdullah bin Abbas, "Tiada aku dan ilmu segala sahabat Muhammad SAW pada Ali RA, melainkan satu titik pada tujuh laut". Manakala hadis yang lain, terjemahan menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu "Barang siapa aku ini adalah penghulunya, maka Ali itu penghulunya pula". Selanjutnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, "Dan beberapa banyak datang padanya hadis yang lain daripada ini, dan turun padanya beberapa ayat daripada Quran tiada hamba sebutkan kerana ikhtisar."Di antara tulisan Sheikh Utsman al-Funtiani dalam Nurul Anwar, mengenai hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, beliau menulis, "Sungguhnya datang ayat dan hadis pada kelebihan Saidina Ali RA ... Setengah daripada hadis Nabi SAW."Terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani daripada Hadis Nabi SAW tersebut, iaitu "Seorang kasih ia akan Saidina Ali maka sungguhnya kasih ia akan daku. Dan seorang kasih ia akan daku maka sungguhnya kasih ia akan Allah Taala. Dan seorang murka ia akan Saiyidina Ali R.A maka sungguhnya murka ia akan daku. Maka seorang murka ia akan daku maka sungguhnya murka ia akan Allah, sebenarnya murka Allah azab di dalam neraka." Dan setengah daripada hadis lagi, terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, iaitu "Ali daripada aku menempati kepala daripada badanku".Sheikh Utsman al-Funtiani menutup perbicaraan ini sama maksudnya dengan kalimat yang digunakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Menulis Sheikh Utsman al-Funtiani, dalam Nurul Anwar, "Dan sungguhnya beberapa banyak ayat Quran dan hadis pada menyatakan kelebihan Saidina Ali RA ...". Adapun "beberapa ayat Quran" ada hubungan dengan Saidina Ali KW, yang diberikan maklumat oleh kedua-dua ulama alam Melayu itu, Sheikh Utsman al-Funtiani memberikan contoh sebab turun ayat 274, surah al-Baqarah, terjemahannya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. Menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, "Berkata Saidina Abdullah bin Abbas RA adalah bersama-sama Saidina Ali empat dirham, tiada mempunya yang lainnya, maka bersedekah ia dengan satu dirham siang hari dan satu dirham pada malam, dan satu dirham sirran (tersembunyi) dan satu dirham jiharan (nyata), maka menurun Allah Taala ... (maksudnya ayat Quran tersebut)".

Ada pun kelompok yang Kedua: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, yang dikumpulkan dalam sebuah risalah pernah ditulis dan disebarkan oleh seorang ulama besar keturunan Nabi Muhammad SAW, beliau ialah Saiyid Utsman Betawi atau lebih terkenal dengan sebutan Mufti Betawi. Karya beliau khusus mengenai ahlil bait diberi judul Hadits Keluarga. Karya beliau ini merupakan hadis ahlil bait yang pertama sekali diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu-Betawi. Walaupun risalah tersebut tipis saja, tetapi sangat besar pengaruhnya dan menjadi pegangan seluruh keturunan Nabi Muhammad SAW, iaitu keturunan yang melalui perkahwinan antara Saidina Ali dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad SAW yang berada di Alam Melayu terutama sekali di Pulau Jawa. Hingga kini memang belum dijumpai kumpulan hadis seumpamanya dalam bahasa Melayu. Beberapa contoh kandungannya tidak dapat diperkenalkan, hanya penulis simpulkan saja bahawa karya ini ditulis dengan lafaz hadis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu. Selain karya Saiyid Utsman Betawi, terdapat lagi sebuah karya judul Nasihatu Ahlil Wafa 'ala Wasiyatil Mustafa, yang diselesaikan 11 Syawal 1312 H di Mekah oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Kandungannya merupakan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ali. Setelah mukadimah dimulai dengan perkataan Saidina Ali menulis, Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, "Telah berkata Saidina Ali K.W, "Telah memanggil akan daku Rasulullah SAW maka bersunyi aku sertanya di dalam rumahnya, maka sabdanya, "Hai Ali engkau daripadaku seperti tempat Musa daripada Harun Alaihimas Salam melainkan tiada Nabi kemudian daripadaku. Bahawasanya aku wasiat akan dikau pada ini hari dengan beberapa wasiat, jika engkau memelihara akan dia nescaya hiduplah engkau dapat kepujian dalam dua negeri dan jika mati engkau syahid ..." Wasiat yang termaktub dalam risalah/kitab Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga itu mengandungi beberapa fasal semuanya bermula dari perkataan, "Hai Ali". Dan ditutup dengan perkataan, "Hai Ali, pelihara olehmu akan wasiatku dan amal olehmu dengan dia adalah engkau itu daripada orang yang muttaqin ..." Karya yang ditulis oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga tersebut beberapa hadis di antaranya pernah dimuat oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam karya beliau yang berjudul Jam'ul Fawaid.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu tasawuf

Diriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah akan hijrah, Saidina Ali diperintahkan supaya menunggu di atas tempat tidur baginda, ketika itulah Rasulullah mengajarkan zikir ismuz zat kepada Saidina Ali K.W, zikirnya adalah dibaca secara sir. Tersebut dalam sebuah manuskrip yang ditulis di bahagian akhir kitab Bidayatul Hidayah karya Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh), versi salinan Sheikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, dipercayai adalah karya beliau, iaitu:

"Maka adapun asal tempat bersandar Masyaikh pada mengajar muridnya zikir 'La ila Ha illallah' pada jalan seseorang itu, iaitu ceritera daripada Saidina Ali ibni Abi Thalib Radhiyallahu 'anhu tatkala ia berahi kepada menghampirkan dirinya kepada Allah Ta'ala, maka lalu ia berdatang sembah kepada Rasulullah SAW: (Di sini tidak dapat dipaparkan kalimat asalnya dalam bahasa Arab, hanya terjemahannya saja)

Terjemahannya: "Ya Rasulallah, tunjuk olehmu akan daku atas sehampir-hampir daripada segala jalan kepada Allah dan semudah-mudahnya atas segala hamba-Nya dan selebih-lebihnya pada Allah Ta'ala"

Terjemahannya: "Sabda Nabi SAW, "Ya Ali tetap olehmu zikrullah dalam segala khalwat"

Terjemahannya: "Maka sembah Amirul Mu'minin Ali R.A, "Ya Rasulullah, demikian kiranya fadhilat zikir padahal adalah segala manusia itu menyebut zikrullah mereka itu"

Terjemahannya:"Maka sabda Nabi SAW, "Diamlah engkau hai Ali, tiada berdiri kiamat itu padahal atas bumi ini orang yang menyebut Allah, Allah". "Maka sembah Amirul Mu'minin Ali RA, "Betapa aku zikir Ya Rasulallah ?"

Terjemahannya: "Sabda Nabi SAW, "Hai Ali pejamkan olehmu kedua matamu dan dengarkan olehmu daripada aku, tiga kali, kemudian dari itu kata olehmu, tiga kali, padahal aku mendengar daripadamu"

Terjemahannya: "Maka zikirlah Nabi SAW 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Amirul Mu'minin Ali RA mendengar dia"

Terjemahannya: "Kemudian dari itu maka zikirlah Amirul Mu'minin Ali RA kalimah 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Nabi S.A.W mendengar dia".

Inilah asal isnad segala Masyaikh mengajar muridnya zikir dengan kalimah 'La ila Ha illallah' padahal sama seorang dengan muridnya ...".

Hujah yang tersebut menjadi pegangan yang kukuh penganut tarekat Alam Melayu, yang takkan tergoyahkan oleh propaganda pihak yang kontroversi dengan tarekat yang mereka amal. Apabila kita kaji hampir semua tarekat mu'tabarah Alam Melayu, sebahagian besar bersanad/bersalasilah kepada Saidina Ali KW. Bermula dari Rasulullah SAW, turun kepada Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya, iaitu: dari Saidina Ali KW turun kepada anaknya Saiyidina Husein, turun kepada Imam Zainal Abidin, turun kepada Imam al-Baqir, turun kepada Imam Ja'far as-Sadiq, sesudah ini turun kepada pelbagai pihak yang bukan keturunan mereka, namun tidak dapat diperjelaskan dengan selengkapnya di sini.

Untuk kejelasan lebih lanjut, dapat dilihat buku penulis berjudul Dhiyaul Murid, mengenai salasilah Thariqat Syathariyah, terbitan Khazanah Fathaniyah (1996), dimulai halaman 112.

Salasilah Thariqat Qadiriyah Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan salasilah Thariqat Qadiriyah Syeikh Ahmad Khatib Sambas, pada bahagian asal tarekat itu juga sama dengan Thariqat Syathariyah, iaitu berasal dari penurunan melalui Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya.

Ada juga salasilah yang bermula dari Rasulullah SAW turun kepada Saidina Ali KW, tidak turun kepada zuriat beliau, tetapi turun kepada Hasan al-Basri, seperti terdapat pada Thariqat Qadiriyah Sheikh Zainuddin as-Sumbawi, yang sama pada bahagian atasnya dengan Thariqat Samaniyah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani.

Untuk perbicaraan ini pula dapat dilihat dalam buku penulis berjudul Al-'Urwatul Wutsqa pada halaman 14, juga dalam buku berjudul Sheikh Abdus Shamad Palembang pada halaman 45. Perkara yang disebutkan mengenai salasilah tarekat ini adalah sebagai pengenalan ringkas saja, selengkapnya penulis muatkan dalam buku berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'Tabarah Di Dunia Melayu, terbitan Khazanah Fathaniyah (2000).

Apa yang penulis nyatakan di atas tidak dipertikaikan oleh para ulama silam tradisional alam Melayu, kerana sumber-sumber yang diperkatakan terdapat rujukan-rujukan daripada kitab-kitab turas Islami. Tetapi selain yang tersebut, penulis mempunyai beberapa buah manuskrip Melayu mengenai tasawuf yang sangat erat hubungan dengan Saidina Ali KW, namun sangat sukar dirujuk kepada sumber-sumber muktabar, lagi pula manuskrip-manuskrip tersebut tidak dapat dikesan nama pengarang, di samping tulisan yang kurang memuaskan.

18.3.09

LAPORAN CIA : Israel Akan "Lenyap " Dalam Tempoh 20 Tahun

Satu kajian yang dijalankan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah memberikan satu keraguan tentang kewujudan negara haram Israel dalam masa 20 tahun lagi.

Laporan CIA tersebut menjangkakan bahawa "inexorable movement away from a two-state to a one-state solution, as the most viable model based on democratic principles of full equality that sheds the looming specter of colonial Apartheid while allowing for the return of the 1947/1948 and 1967 refugees. The latter being the precondition for sustainable peace in the region."

Hasil kajian tersebut yang hanya disiarkan kepada individu & bada-badan terpilih, selanjutnya menyatakan bahawa pelarian Palestin akan kembali ke tanah asal yang sememangnya menjadi hak mutlak mereka, & dua juta Yahudi Israel akan menjadi pelarian, di mana sebahagian besarnya akan berhijrah ke Amerika Syarikat dalam jangka masa 15 tahun lagi.

"Kini terdapat sejumlah 500,000 rakyat Israel dengan pasport Amerika & lebih daripada 300,000 bermastautin di wilayah California sahaja," kata peguam antarabangsa Franklin Lamb dalam sesi temuramah dengan Press TV.

Beliau menambah bahawa laporan CIA, membayangkan keruntuhan secara tidak disangka-sangka kerajaan apartheid Afrika Selatan, serta mengimbau sejarah terlerainya Kesatuan Soviet pada era 90-an, seolah-olah memberi petanda mimpi buruk yg sama bakal terjadi terhadap Israel lebih cepat daripada apa yg disangkakan.

Kajian itu juga menunjukkan penghijrahan (emigrasi) sejumlah 1.5 juta warga Israel ke Russia & negara-negara Eropah, serta penurunan kadar kelahiran Yahudi Israel berbanding peningkatan dalam kadar kelahiran rakyat Palestin.

Ujar beliau lagi, dengan tingkah laku serta layanan Israel ke atas umat Islam Palestin di Gaza &Tebing Barat, tahap kesabaran masyarakat Amerika - yang sedari 25 tahun yg lalu menyuarakan bantahan terhadap kekejaman Tel Aviv ini - sudah sampai ke tahap "kemuncak".

Hasil kajian ini turut dibentangkan kepada sebilangan kecil ahli Jawatankuasa Perisikan Senat US.

Source here.

4.3.09

YAHUDI GERUN KETURUNAN RASULULAH

(Oleh Abdurrahman Haqqi,Berita Minggu 1 April 2007, ms 15)

SESUNGGUHNYA hak Rasulullah SAW tidak dapat ditunaikan oleh seseorang. Dan sesungguhnya Rasulullah SAW tidak meminta darimu lebih daripada mencintai kerabatnya! Dengan wajah apa engkau menghadap Nabi SAW ketika Baginda memberi syafaat bagimu di sisi Allah, walaupun balasan salah seorang cucunya, padahal Baginda tidak minta apa pun darimu kecuali hanya mencintainya.” (Dr Muhammad Abduh Yamani, Pandangan Ahlussunah Terhadap Ahlul-bait, Terj., 35)


Ketika penulis berjalan di pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya tidak lama dulu, penulis terserempak buku bertajuk Ahlul-bait (Keluarga Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu, susunan Tun Suzana Tun Othman dan Muzaffar Mohammad. Demi kecintaan kepada ahlul-bait, penulis membeli buku berkenaan.

Sememangnya ia sangat informatif dan bermanfaat. Semalam, sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran atas jasa yang tidak ternilai harganya, kita menyambut dengan meriah dan penuh khidmat Hari Keputeraan Rasulullah SAW di seluruh dunia.

Umat Islam merayakannya dengan pelbagai cara, ada dengan perarakan, zikir maulud, bacaan selawat, malah sebagai bukti negara kita adalah negara Islam, hari berkenaan dijadikan cuti umum setiap tahun.

Satu aspek yang jarang disentuh dalam kita memperingati Hari Keputeraan Rasulullah adalah tuntutan agama Islam dalam mencintai keluarga Rasulullah SAW. Dalam hadis disebutkan maksudnya: “Belum sempurna iman seorang hamba Allah sebelum cintanya kepadaku melebihi cinta kepada dirinya sendiri; sebelum cintanya kepada keturunanku melebihi cinta kepada keturunannya sendiri; sebelum cintanya kepada ahli-baitku melebihi cinta kepada keluarganya sendiri; dan sebelum cinta nya kepada zatku melebihi cinta kepada zatnya sendiri.” (Riwayat at-Tabrani).

Hadis ini sebagai perluasan terhadap pemahaman ayat al-Quran yang bermaksud: “Nabi itu hendaknya lebih utama bagi orang Mukmin daripada diri mereka sendiri dan isterinya adalah menjadi ibu mereka.” (Surah al-Ahzab: 6)

Dalam sistem khilafah atau kenegaraan Islam sepanjang sejarah, hal ehwal ahlul-bait dimasukkan dalam satu daripada jabatan sistem perkhidmatan awamnya. Ia membuktikan pentingnya mereka dalam Islam kerana mereka adalah titipan dan pusakaM Baginda kepada umatnya. Nabi bersabda maksudnya: “Kutinggalkan di tengah kalian dua pusaka (peninggalan): Kitabullah sebagai tali terentang antara langit dan bumi, dan keturunanku. Kedua-duanya itu tidak akan terpisah hingga kembali kepadaku di Haud (Telaga Nabi di syurga).” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam sistem itu, seperti ditulis al-Mawardi (w.450H) dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah, hal ehwal ahlul-bait di bawah jabatan yang dipimpin seorang Naqib yang bertanggungjawab melindungi keturunan mulia supaya ‘tidak termasuk ke dalamnya orang yang tidak sepatutnya dan tidak terkeluar daripadanya orang yang daripada keturunannya’.

Antara tugas Naqib yang terpenting ialah membezakan rumpun ahlul-bait serta memastikan keturunan mereka dilindungi dan tidak bercampur aduk antara satu keturunan dengan keturunan lain.

Seseorang Naqib juga perlu memastikan ahlul-bait Rasulullah SAW di bawah sayapnya mempunyai budi pekerti tinggi selaras kemuliaan keturunan mereka supaya pandangan hormat masyarakat terhadap nama baik zuriat Rasulullah SAW tetap terpelihara.

Ahlul-bait mempunyai kedudukan mulia yang ditetapkan al-Quran seperti dalam ayat bermaksud: “Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa daripada kamu ahlul-bait dan mensucikan kamu sesucinya.” (Surah al-Ahzab: 33)

Dalam hadis ada disebutkan maksudnya: “Bintang adalah keselamatan bagi penghuni langit, sedang ahlul-baitku keselamatan bagi penghuni bumi. (Hadis riwayat at-Tabrani)

Kecintaan junjungan kepada ahlul-bait tidak perlu dipertikai. Dalam hal ini Ibnu Taimiyyah ada menyebut hadis yang bermaksud: “Janganlah kalian berselawat untukku dengan ‘Selawat Batra’. Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan ‘Selawat Batra?’. Baginda menjawab: “Kalian mengucapkan: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad, lalu kalian berhenti di situ. Ucapkanlah: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga (ahlul-bait) Muhamad.

Bagaimanapun, ada juga di kalangan umat Islam yang tidak memahami kedudukan sebenar ahlul-bait sehingga mereka memperkecil bahkan menghina mereka.

Aisyah RA meriwayatkan hadis yang bermaksud: “Enam macam orang yang aku mengutuk kepada mereka dan Allah mengutuk juga padahal setiap Nabi itu diperkenankan permohonannya, iaitu orang yang menambah kitab Allah; orang yang mendustakan ketentuan Allah; orang yang mengalah kepada pemerintah sombong dan kejam lalu dengan itu dia memuliakan orang yang direndahkan Allah dan merendahkan orangM yang dimuliakan Allah; orang yang menghalalkan larangan Allah; orang yang menghalalkan daripada keturunanku yang Allah haramkan; dan orang yang meninggalkan sunnahku.” (Hadis riwayat Tirmizi dan al-Hakim).

Dalam hadis ini disebutkan bahawa antara orang yang mendapat kutukan Baginda adalah orang yang menghalalkan daripada keturunanku yang Allah haramkan atau dengan perkataan lain tidak memberikan hak sepatutnya kepada ahlul-bait, bahkan mengambil hak mereka.

Dalam konteks kegerunan orang Yahudi terhadap ahlul-bait kerana mereka gentar pada potensi ahlul-bait yang bakal menjadi lawan setara, bak ‘buku bertemu ruas’ protokol cendekiawan Zionisme nombor satu ada menyatakan: “... anda akan dapat melihat kemudian bahawa ini akan membantu kemenangan kita; ia akan memberikan kita kemungkinan untuk mendapat ‘kad induk’ (iaitu) pembinasaan golongan bangsawan warisan (genealogical aristrocracy) yang juga satu-satunya golongan menjadi pertahanan semula jadi bangsa dan negara daripada serangan kita.

Daripada pembinasaan kelas bangsawan warisan (institusi raja) yang bersifat fitrah itu kita membina golongan ‘bangsawan meritrokasi’ yang diketuai golongan bangsawan berduit (kapitalis). Begitu pula dalam protokol nombor tiga: “Orang yang kita bimbing berjaya membinasakan golongan (bangsawan warisan) yang (sebenarnya) adalah satu-satunya pertahanan rakyat serta ‘ibu angkat’ yang memanfaatkan mereka, atas keterikatan dengan kesejahteraan rakyat di bawah golongan bangsawan (warisan) ini.

Pada hari ini dengan pembinasaan golongan bangsawan (warisan) ini, rakyat jelata jatuh kepada cengkaman kapitalis dengan kezaliman mereka meletakkan rantai yang menjerut leher pekerja.” Kedua-dua protokol ini diterjemahkan dalam buku yang penulis beli.

Sebagai tanda cinta dan kasih sayang Baginda terhadap umatnya yang datang kemudian, maka dijadikan ahlul-bait Baginda penyelamat di bumi seperti dalam hadis di atas.

Bahkan pada akhir zaman, ahlul-bait yang memimpin dunia ini seperti dikatakan Rasulullah bahawa pada zaman al-Mahdi nanti kambing dan serigala digembala menjadi budak bermain ular dan kala jengking. Ular dan kala jengking tidak membahayakan sama sekali. Umat manusia akan menanam satu mud benih dan akan memetik hasil 700 mud. Riba, perzinaan dan minuman keras menjadi lenyap. Umat manusia berumur panjang, amanah ditunaikan hal yang keji lenyap dan orang yang benci ahlul-bait Rasulullah binasa.

“Dalam pada umat Islam diperdaya untuk menolak signifikan kepentingan peranan dan relevannya golongan ahlul-bait, Yahudi Zionis khususnya amat percaya sepenuhnya dan berasa takut dan tergugat pada potensi mereka. Keyakinan Yahudi Zionis pada potensi ahlul-bait Rasulullah SAW inilah yang menyebabkan mereka mengatur pelbagai perencanaan seperti terkandung dalam Protokol Cendekiawan Zionis untuk menghapuskan potensi ahlul-bait, contohnya mencemarkan nasab mereka, terutama ahlul-bait daripada baka warisan raja umat Islam yang dipanggil sebagai geneological aristrocracy atau ‘bangsawan warisan’ itu. (Ahlul-Bait.. 442)

Rasulullah sebagai utusan Ilahi yang membawa rahmat menyelamatkan umat manusia dengan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada terang benderang, daripada kehancuran kepada keselamatan. Dalam tugasnya itu Baginda tidak mengharapkan apa-apa upah daripada manusia kerana diserahkan kepada Allah SWT.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah (imbalan) mengenai ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra dalam kekeluargaan.” (Surah Asy-Syura: 23).

Satu daripada tafsiran ayat ini adalah seperti dikatakan al-Maqrizi: “Aku tidak minta imbalan apa pun jua atas kalian atas agama yang aku bawakan kepada kalian itu, kecuali agar kalian berkasih sayang kepada keluargaku.”

Itulah satu kewajipan yang terabaikan dan ia menambah lagi senarai pengabaian kita ke atas kewajipan agama Islam suci lainnya.