3.12.09

Iran hadapi risiko serangan ketenteraan

(Sinar Harian)

Pengumuman Iran untuk membina 10 loji pengayaan uranium baru akan memberi dorongan kepada negara kuasa dunia mengenakan sekatan baru ke atas Teheran.

Iran kini menghadapi risiko serangan ketenteraan jika cita-cita peluasan nuklear Republik Islam itu benar-benar menjadi kenyataan.

Namun, pengumuman Iran itu disifatkan sebagai satu isyarat bantahan sejurus selepas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengkritik Iran kerana membangunkan loji pengayaan nuklear secara rahsia dekat bandar Qom baru-baru ini.

Presiden Institut Sains dan Keselamatan Antarabangsa (ISIS) di Washington, David Albright menganggap idea Iran itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau menggesa kenyataan Iran itu dinilai dari sudut berbeza kerana ia berpunca daripada resolusi IAEA.

Penganalisis kanan ISIS, Jacqueline Shire berkata, di segi perspektif politik, pengumuman Teheran itu adalah bertujuan memburukkan lagi ketegangan yang sedia wujud.

Ketua IAEA, Mohamed ElBaradei minggu lalu memberi amaran bahawa Iran mampu memberi reaksi keras jika enam negara kuasa dunia berterusan mengkritik republik itu.

Beliau mengakui resolusi IAEA menjejaskan hubungan diplomatik yang sedang dilakukan.

Teheran kini bersedia untuk mengurangkan kerjasama dengan badan pemantau nuklear itu.

IAEA langsung tidak mengetahui mengenai rancangan terbaru Teheran itu, kata diplomat kanan.

Iran mendakwa sudah memilih lima tapak untuk membangunkan loji nuklear baru, di mana beberapa tapak masih dalam peringkat perancangan.

Pengumuman tersebut dilihat sebagai ancaman kosong kepada Barat kerana Iran memerlukan masa bertahun-tahun untuk memiliki apa yang dikatakan itu.

Pengumuman Teheran itu nyata bercita-cita tinggi jika dilihat kepada sekatan teknikal yang dihadapi negara berkenaan.

Ketua Penganalisis dari Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di London, Mark Fitzpartrick berkata, pengumuman Teheran mengenai 10 tapak nuklear baru itu tidak membawa sebarang maksud.

Shire menyifatkan pengumuman tersebut sebagai kenyataan angkuh Iran kerana republik itu sebenarnya tidak mempunyai cukup uranium untuk meneruskan program pengayaan nuklear seperti yang diumumkan.

Albright berkata, Iran tidak mampu membina 10 loji pengayaan nuklear baru kerana negara itu tidak memiliki keupayaan untuk melakukannya.

Iran ketika ini menghadapi beberapa isu teknikal yang memaksa Teheran mengurangkan jumlah mesin pemproses uranium di loji nuklear Natanz.

Teheran juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan material dan komponen untuk program atom dari luar negara berikutan sekatan yang dikenakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Iran tidak mungkin memiliki kapasiti untuk membangunkan kemudahan nuklear pada skala industri tambahan buat masa ini," kata Fitzpatrick.

Sebaliknya, bantahan dan ancaman Iran itu hanya memudahkan negara kuasa Barat, Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Jerman, untuk mendapatkan sokongan Rusia dan China dalam usaha mengenakan sekatan baru ke atas Iran.

Rusia dan China, yang menjadi rakan dagangan utama Iran, adalah antara negara kuasa dunia yang menolak pendirian keras terhadap Iran oleh PBB.

Namun, pendirian kedua-dua negara itu mula berubah sejak pendedahan loji nuklear di Qom dan bantahan Iran terhadap perjanjian bekalan api dikemukakan IAEA, yang berupaya menghalang Teheran menggunakan uranium rendah yang diperkaya untuk tujuan ketenteraan.

Teheran ketika ini kekurangan kemudahan untuk menukarkan uranium rendah diperkaya kepada bahan api nuklear untuk kegunaan awam.

Sehubungan itu, rancangan peluasan loji pengayaan uranium itu dijangka meningkatkan lagi syak wasangka Barat yang mendakwa Iran cuba membangunkan senjata atom dengan berselindung di sebalik program nuklear untuk tujuan keamanan.

Jika rancangan peluasan loji pengayaan uranium itu diteruskan, Teheran kemungkinan menghadapi tindakan ketenteraan dari Israel yang melihat program nuklear Iran itu sebagai ancaman kepada negara haram Yahudi itu.

Tel Aviv sebelum ini berulang kali memberi amaran keras akan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran berikutan ancaman nuklear yang dicetuskan Republik Islam itu.

"Sangat menyedihkan kerana apa yang diumumkan Iran itu hanya membuka ruang kepada kemungkinan serangan ketenteraan ke atas negara itu," kata Fitzpatrick.

No comments: