9.12.09

Demonstrasi besar di Iran

(Utusan Malaysia)


Mahasiswa wanita Iran yang pro-kerajaan berhimpun beramai-ramai sambil berteriak dan membawa poster pengasas revolusi, Ayatollah Khomeini di Kampus Universiti Teheran, semalam. - AP


TEHERAN 8 Dis. - Beribu-ribu mahasiswa yang membawa sepanduk dengan tulisan berbunyi 'Kematian untuk Diktator' manakala yang lain bertindak membakar gambar pemimpin tertinggi Iran, membanjiri jalan-jalan raya di lebih 12 kampus di republik ini, semalam dalam satu bantahan anti kerajaan terbesar di Iran dalam masa beberapa bulan.

Polis antirusuhan dan pasukan separa tentera pro kerajaan, Basij yang menaiki motosikal dikerah mengawal jalan-jalan utama di Teheran, kelihatan memukul lelaki dan wanita dengan belantan apabila kumpulan penunjuk perasaan mula bertindak melempar batu bata.

Sesetengah penunjuk perasaan turut membakar tayar dan tong-tong sampah.

"Kematian kepada penindas, sama ada golongan raja atau pemimpin,'' laung mahasiswa itu sambil membuat perbandingan berani antara pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan Maharaja Iran yang pro Amerika Syarikat (AS), Mohammad Reza Shah Pahlavi yang memandang rendah Iran sejak maharaja itu di gulingkan semasa Revolusi Islam 1979.

Bantahan itu menggambarkan bagaimana mahasiswa universiti yang merupakan daya penggerak semasa Revolusi Islam 1979, telah menggiatkan semula gerakan anti kerajaan, biarpun ketika pemimpin pembangkang kebanyakannya bertungkus-lumus cuba menjejaskan kuasa Presiden Mahmoud Ahmadinejad serta pemimpin-pemimpin agama.

Dalam kawasan Universiti Teheran, pergaduhan tercetus antara penunjuk perasaan dengan pelajar yang setia kepada kerajaan.

Dalam satu gambar yang diperoleh Associated Press, seorang mahasiswa memakai cekak rambut berwarna hijau (tanda warna pembangkang) dilihat cedera dengan darah mengalir di mukanya akibat dipukul.

Bantahan di universiti itu turut merebak ke jalan-jalan raya dan kawasan terbuka berhampiran, malah menurut saksi, mereka turut mendengar bunyi tembakan di jalan Enghelab.

Bantahan turut berlaku di tujuh universiti lain di Teheran dan beberapa kampus lain di sekurang-kurangnya enam bandar.

Mahasiswa memainkan peranan utama dalam demonstrasi revolusi pada 1979 yang telah menggulingkan maharaja Iran dan mengangkat pemimpin agama sebagai pemerintah. - AP

Al Mubahalah

(http://www.angelfire.com)



Peristiwa Mubahalah: Islam dan Globalisasi Kepimpinan:

Kita sudah pasti tidak boleh menyangkal bahawa tabi’i alam berjalan sejajar dengan ketentuan-ketentuan, peraturan-peraturan dan norma-norma yang diperlukan oleh manusia. Ini beerti bahawa seluruh kehidupan manusia terikat kepada satu sistem yang bertujuan untuk memelihara kebaikan dan kebahagiaan di dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itu pencipta semesta ini tidak sekadar mewujudkan ketentuan-ketentuan, norma-norma dan peraturan-peraturan tersebut bagi menghasilkan kehidupan yang baik untuk mereka, tetapi serentak dengan itu limpahan dari kerahmatan maha pencipta alam ini juga telah didatangkan melalui satu ‘sistem ketuhanan’ yang bermatlamat untuk memartabatkan manusia dengan nilai-nilai kemanusiaannya.

Perutusan para anbiya a.s. adalah peneraju-peneraju semasa yang membimbing manusia ke arah perlaksanaan sistem tersebut secara praktikal, dan Allah s.w.t. tidak akan meninggalkan manusia tanpa penaru semasa yang membolehkan manusia bergerak bebas di bawah sistem ketuhanan itu.

Allah s.w.t. befirman:

وان من امة الا خلا فيها نذير

Yang bermaksud: “Dan tidak ada suatu ummat pun melainkan telah berlalu padanya seorang pengancam”. (Fatir: 24)

Setelah berakhir satu siri perutusan para anbiya a.s. ini sistem ketuhanan tersebut tetap berterusan bagi mengekalkan kemurnian hidup manusia. Oleh yang demikian Allah sw.t. telah menyatakan dengan jelas mengenai saringan generasi kepimpinan yang telah disaring dari generasi para anbiya a.s. ini sebagaimana ditegaskan oleh Al-Quran yang mulia.

وجعاها كلمة باقية فى عاقبه لعلهم يرجعون

Yang bermaksud: “Dan Allah telah menjadikannya (kalimah tauhid) sebagai kalimah yang berkekalan pada generasinya (Ibrahim a.s.) semoga mereka kembali”. (Az-Zukhruf: 28)

Oleh kerana tujuan kedatangan Islam adalah untuk kesejahteraan seluruh manusia, maka status dan skop kepimpinan yang telah ditaja oleh Islam adalah selaras dengan tujuan kedatangannya. Ini dapat dilihat di dalam semua aspek kehidupan manusia, kerana itu sejarah memaparkan Nabi Ibrahim a.s. menerima perlantikan Allah s.w.t:

إنى جاعلك للناس اماما

Di dalam ayat tersebut: “Sesungguhnya aku menjadikan engkau pemimpin (imam) kepada seluruh manusia” (Al-Baqarah: 124)

Di dalam ayat tersebut Allah s.w.t. tidak hanya sekadar menyatakan bahawa kuasa mutlak di tangannya untuk melantik pemimpin dengan menyebutkan perkataan ‘Ism-ul-Fa’il’ (kata nama pembuat) iaitu ‘Ja’ilu-ka’, tetapi Allah s.w.t. juga menyebutkan skop kepimpinan dan seterusnya iaitu dengan perkataan ‘Lin-Nas’ dan ‘Imama’. Kepimpinan di dalam bentuk ini berterusan hingga ke zaman pesuruh Allah s.w.t. terakhir, di mana skop dan status kepimpinannya mengatasi para anbiya a.s. terdahulu.

Kerana itu peristiwa ‘Mubahalah’ yang diperlakukan oleh Allah s.w.t. di saat-saat terakhir hayat Rasulullah s.a.w.a. adalah satu peristiwa yang tidak hanya sekadar dipandang dari aspek cabaran Islam mengatasi seluruh agama yang lain, tetapi semestinya dipandang dari aspek penerusan garis kepimpinan yang ditinggalkan oleh baginda dengan penampilan individu-individu tertentu di dalam peristiwa tersebut. Ini beerti sebelum Islam menutup siri perutusan para anbiya Islam telah memperkenalkan garis kepimpinan yang berwibawa untuk merealisasikan tugas kepimpinan yang global ini.

Al-Quran memaparkan peristiwa tersebut bagi memperjelaskan kedudukan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.a. sesudah sekian banyak ayat-ayat yang diturunkan berhubung dengan kedudukan Ahlul Bait baginda, tetapi peristiwa dan ayat yang berhubung dengan peristiwa ini menampilkan suatu pengertian yang luas dan bertujuan menyingkap semula konsep kepimpinan di samping merupakan satu peringatan menjelang peristiwa ‘Al-Ghadir’. Ini beerti bahawa pengingkaran terhadap ‘Ayat-u-Tabligh’ dan hadis ‘Al-Ghadir’ menyanggahi realiti peristiwa Mubahalah ini, di mana pendedahan skop dan status kepimpinannya adalah lebih besar.

Allah s.w.t. befirman:


فَمَنْ حَاجَّكَ فيهِ مِنْ بَعْدِ ما جاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعالَوْا نَدْعُ أَبْناءَنا وَ أَبْناءَكُمْ وَ نِساءَنا وَ نِساءَكُمْ وَ أَنْفُسَنا وَ أَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَتَ اللهِ عَلَى الْكاذِبينَ

Maksudnya:

“Maka barang siapa yang membantahmu mengenainya (agama) sesudah datang pengetahuan kepadamu, katakanlah kepada mereka: Marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-peempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian kita bermubahalah (dengan berrdoa dan memohon) menjadikan la’nat Allah ke atas ke atas orang-orang yang berdusta”

(Al-Imran: 61)

Najran dan peristiwa Mubahalah:

Di semenanjung tanah Arab, Najran adalah wilayah yang paling penting bagi orang-orang Nasrani, terletak bersempadan dengan dengan Yaman dan Hijaz, sebuah daerah pertanian yang subur, terkenal dengan perusahaan menenun sutera, pembikinan senjata dan barangan kulit. Bumi ini adalah laluan pendagang yang terdekat mengarah ke hirah, melahirkan banyak penyair yang terkemuka. Penduduk Najran sewaktu ketika dahulu sebelum beragama Nasara mereka adalah penganut-penganut agama orang-orang Arab. Di bumi inilah berlaku peristiwa pembakaran beramai-ramai ‘Ashab Ul-Ukhdud’ yang diceritakan Al-Quran.

Kaum Nasrani berjaya mengekalkan kekuasaan meraka di Najran selepas menumpaskan Zu Nuwwas dari kaum Yahudi yang telah menyerang bumi tersebutdan kejayaan ini membawa penguasaan mereka di selatan Habsyah dan di utara Rom. Inilah detik-detik kaum Nasrani Najran berada di puncak keangkuhan mereka sebagaimana keangkuhan kaum Yahudi sebelumnya. Mereka telah membina sebuah Ka’abah di Najran di sebabkan kedengkian mereka terhadap Ka’abah di Makkah. Yaqut telah menyebutkannya di dalam ‘Mu’jam Ul-Buldan’ (Jilid 8 : muka surat 264):

Dan Ka’abah Najran ini dikatakan telah dibina oleh Banu Abdul Madan bin Ad-Diyan Al-Harisi mengikut bentuk binaan Ka’abah, mereka memulia dan mengagung Ka’abah tersebut serta menamakannya ‘Ka’abah Najran’ di dalamnya para asaqifah beribadat.

Penguruasan ‘Ka’abah Najran’ dibahagikan kepada tiga jabatan yang dipertanggungjawabkan kepada tiga orang. Jabatan yang mengurus urusan luar mengurus luar mengenai hubungan di antara qabilah dengan mereka sebagaimana yang kita namakan pada hari ini kementerian luar disandang oleh ‘As-Sayyid’ yang namanya ialah ‘wahab’, di mana ia merangkap sebagai pemimpin di dalam peperangan yang kita namakan menteri peperangan atau menteri pertahanan. Jabatan yang mengurus urusan dalaman yang kita namakan pada hari ini kita namakan kementerian dalam negeri yang di sandang oleh ‘Al-‘Aqib’ yang namanya adalah ‘Abul Maseh’, jabatan yang mengurus urusan keagamaan yang kita namakan pada hari ini menteri agama yang disandang oleh ‘Al-Usquf’ yang namanya adalah ‘Abu Marisah’.

Kaum Nasrani Najran telah mengutus ketiga-tiga mereka bertemu Rasulullah s.a.w.a. dan baginda telah berhasrat untuk bermubahalah dengan mereka, tetapi mereka telah memohon perdamaian dengan baginda, walaubagaimanapun Rasulullah telah menulis sepucuk surat kepada mereka dengan mengenakan beberapa syarat. Selepas Abu bakar menyandang jawatan khalifah dihapuskan yang demikian itu, ketika umar mengambil alih jawatan tersebut, beliau telah memuliakan mereka dan membeli harta mereka.

Pembahasan mengenai penurunan ayat ini:

Di dalam sahih muslim, dari riwayat Amir bin Saad bin Abi Waqqas daripada bapanya ia berkata: “Muawwiyah bin Abi Sufyan menyuruh Saad dengan berkata: Apakah yang menghalangmu dari mencaci Abu Turab (Imam Ali a.s.)?. Ia ( Saad ) menjawab: Ada pun telah diperingatkan kepadaku tiga kali di mana Rasulullah s.a.w.a. telah berkata ketiga-tiganya maka aku tidak akan mencacinya, kerana sesungguhnya ia adalah bagiku satu-satu yang paling aku kasihi dari seluruhnya. Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w.a. bersabda mengenainya di waktu baginda meninggalkan Ali r.a. di dalam beberapa peperangan, maka Ali r.a. telah berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah!, engkau tinggalkan aku (tidak ikut serta di dalam peperangan) bersama perempuan-perempuan dan kanak-kanak.” Rasulullah s.a.w.a. menjawab: “Tidakkah engkau redha bahawa engkau menjadi di sisiku kedudukannya sama dengan kedudukan Harun di sisi Musa kecuali sesungguhnya tidak ada lagi seorang Nabi sesudahku. Aku juga telah mendengar baginda bersabda di hari (perang) Khaibar: “Aku akan berikan besok panji-panji kepada seorang lelaki yang cintakan Allah dan Rasul menyintainya.” Ia berkata: Kami telah membentang kepadanya (panji-panji). Maka baginda bersabda: “Panggillah Ali untukku.” Kemudian Ali telah datang dengan mata yang sedang sakit, maka baginda telah meludah ke dalam kedua belah matanya dan menyerahkan panji-panji kepadanya dan Allah s.w.t. telah memberikan kemenangan di dalam tangannya. Sewaktu turun ayat ini: “Katakanlah kepada mereka, marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah. Rasulullah s.a.w.a. telah memanggil Ali, Fatimah, Hassan dan Hussain dan berdoa: Ya Allah tuhan kami, mereka itulah Ahlul Baitku”[1].

Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam “Fathul Bari” ( Syarah Al-Bukhari ) telah berkata selepas menyebut hadis ini yang diriwayatkan oleh muslim dan At-Tarmizi mengikut lafaz tersebut dan di sisi Abi Ya’la daripada Saad dengan bentuk yang lain. Beliau telah berkata: “Jika sekiranya diletakkan gergaji di atas kepalaku untuk aku mencaci Ali, aku tidak mencacinya sama sekali selama-lamanya. Beliau juga berkata hadis ini ialah hadis ‘Al-Manzilah’ (iaitu hadis tentang kedudukan Imam Ali a.s.) yang diriwayatkan juga daripada Rasulullah s.a.w.a. melalui jalan yang lain daripada Saad dari hadis Umar, Ali sendiri, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Jabir bin Abdullah, Al-Barrak, Zaid bin Arqam, Abi Said, Jabir bin Samrah, Anas bin Malik, Habsyi bin Janadah, Muawiyah, Asma’ binti Umais dan lain-lain. Dan beliau berkata bahawa hadis tersebut mencangkupi jalan-jalan daripada Ibnu Asakir di dalam ‘Tarjumah Ali r.a..[2]

Imam Annawawi menyatakan di dalam syarah muslim sehubungan dengan memberikan komentar terhadap teks riwayat yang berbunyi: “Sesungguhnya Muawiyah telah berkata kepada Saad bin Abi Waqqas: Apakah yang menghalangmu dari mencaci Aba Turab?”. Beliau berkata: “Para ulama telah berkata bahawa hadis-hadis yang telah diriwayatkan itu adalah pada lahirnya menyentuh para sahabat ( Rasululah s.a.w.a. ) wajib ditakwilkannya. Mereka berkata ianya tidak ada di dalam riwayat-riwayat yang siqaat (kepercayaan). Maka pertanyaan Muawiyah ini tidak menunjukkan pengertian yang jelas padanya bahawa sesungguhnya ia menyuruh Saad mencaci Ali r.a.. Tetapi hanyasanya ia ( Muawiyah ) telah bertanya kepadanya (Saad ) tentang halangan baginya untuk mencaci, seolah-olah ia berkata, adakah engkau telah terhalang disebabkan oleh kerendahan diri atau takut atau selain daripada yang demikian itu. Jika sekiranya kerana kerendahan diri dan kebesaran tentang membuat cacian, maka engkau betul dan baik. Tetapi sekiranya selain daripada yang demikian itu, maka baginya jawapan yang lain pula. Dan boleh jadi Saad sesungguhnya telah berada dalam satu golongan (yang) mereka itu mencaci Ali r.a., maka ia tidak bersama-sama dengan mereka dan tidak mampu untuk mengingkarinya ataupun mengingkari terhadapnya. Dengan itu ia telah bertanya tentang soalan ini. Mereka juga (para ulama) telah membuat andaian dengan dua takwil yang lain iaitu maknanya apakah yang menghalangmu untuk menyalahkannya di dalam perkara pandangan dan ijtihadnya. Maka zahirkah kebaikan terhadap manusia, akan tetapi pandangan kami dan ijtihad kami ini adalah sesungguhnya salah”.

Hadis tersebut diriwayatkan juga oleh Tarmizi di dalam sahihnya[3], Ahmad Ibnu Hanbal di dalam Musnadnya[4], dan An-Nasai di dalam Khasaisnya[5].

At-Thabari telah mengeluarkan banyak hadis mengenai ayat di atas melalui berbagai jalan daripada Zaid bin Ali, daripada Sadi dan Qatadah, daripada Sanaa bin Zaid dan daripada Al-Yasykiri[6] As-Syayuthi di dalam Ad-Dur Ul-Mansurnya menukilkannya daripada Jabir dan menyebutkan di akhirnya bahawa Jabir telah berkata: ‘diri-diri kami dan diri-diri kamu ialah Rasulullah s.a.w.a. dan Ali r.a. dan anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain dan perempuan-perempuan kami ialah Fatimah.[7]

Al-Wahidi An-Naisaburi di dalam Asbab Un-Nuzulnya telah menyebut di akhirnya bahawa As-Syakbi telah berkata: Anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain perempuan-perempuan kami ialah Fatimah dan diri-diri kami ialah Ali bin Abi Talib r.a.[8]. Al-Qanzuri Al-Hanafi di dalam Yanabiyyul Mawaddahnya menyebutkan berbagai riwayat yang menyatakan bahawa Ali ialah diri Rasulullah s.a.w.a. berdasarkan dari nas ayat yang mulia itu[9]. Asy-Syablanji di dalam Nurrul Absarnya menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan perempuan-perempuan kami ialah Fatimah dan anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain dan diri-diri kami ialah diri kami ialah diri Rasulullah s.a.w.a. dan Ali r.a.[10].

Riwayat yang memberi maksud yang sama dikeluarkan oleh sebahagian para muhaddisin dan mufassirin di antaranya: At-Thabari di dalam Zakhairul ‘Uqba[11], Al-Kanji As-Syafie di dalam Kifayat Ut-Talibnya[12], Al-Hakim di dalam Mustadraknya[13], Abu Naim di dalam An-Nubuwah[14], Fakharuddin Ar-Razi di dalam tafsirnya15, Ibnu Asir di dalam kitab Usdul Khabah16, Basth Ibnu Jauzi di dalam Tazkirah,17 Al-Qurtubi di dalam Al-Jamiul Lil Ahkamil Quran18, Al-Baidhawi di dalam Tafsirnya19, Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam Isabah20 dan lain-lain lagi.



[1] Sahih Muslim: jil 7, ms 120.

[2] Fathul Bari, jil 8, ms 74.

[3] At-Tarmizi, jil 2, ms 200.

[4] Musnad Ahmad Ibnu Hanbal, jil 1, ms 185.

[5] An-Nasai, jil 4, ms 16

[6] Tafsir At-Thabari, jil 3, ms 192.

[7] Ad-Dur Ul-Mansur, jil 2, ms 38.

[8] Asbab Un-Nuzul, ms 47.

[9] Yanabiyul mawaddah, ms 43.

[10] Nurul Absar, ms 101.

[11] Zakhairul Uqba, ms 25

[12] Kifayah At-Talib, ms 54.

[13] Mustadrak, jil 3, ms 150

[14] Dalail, ms 297.

[15] Fakhrurazi, jil 8, ms 85

[16] jil 4, ms 25

[17] ms 17

[18] jil 3, ms 104

[19] jil 2, ms 22

[20] jil 2, ms 503

6.12.09

Pemikiran antimazhab ancam syariat Islam

(Berita Harian)

Oleh Muhammad Rashidi Wahab
shidi_buluh@yahoo.com

Golongan dukung slogan tertentu cenderung kepada perbahasan boleh gugat umat

MUNGKIN ada sesetengah golongan cetek penyelidikan dan pengetahuannya mengenai perbahasan dalam ilmu agama Islam berpendapat masyarakat awam hari ini tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dan ulama, cuma perlu mengikut al-Quran dan sunah secara terus.

Mereka berpendapat cukup dengan segulung ijazah sarjana atau PhD sudah melayakkan seseorang itu tidak mengikuti mana-mana mazhab. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan mazhab adalah rekaan ulama silam semata-mata dan tiada kaitan dengan Islam.

Sesiapa saja yang mengikut mazhab termasuk di kalangan pelaku bidaah mungkar, bahkan ada yang lebih dangkal mengatakan seseorang itu sesat dan kafir. Adakah kenyataan ini benar-benar ilmiah?

Apabila kenyataan seperti itu keluar daripada mulut seseorang, maka terbukti kecetekannya dalam memahami perbahasan ulama muktabar. Mereka membayangkan ulama mazhab terdahulu mengeluarkan fatwa tanpa sandaran atau lalai terhadap nas al-Quran dan sunah.


Penyakit seperti itu berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (antimazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab, sedangkan mengikuti kefahaman dan penjelasan dengan bertanyakan sesuatu masalah tidak diketahui kepada ulama digalakkan agama Islam.

Pujian patut diberikan terhadap usaha tegas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menyedari bahaya pemikiran alLa mazhabiyyah ini, lantas mengeluarkan risalah penerangan bertajuk 'Bahaya Antimazhab'.

Masih ramai lagi ulama bangkit menjelaskan perkara itu melalui tulisan dan ceramah supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata golongan itu.

Selain itu, salah seorang ulama Islam masa kini iaitu Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti turut menulis sebuah kitab bertajuk alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah (kitab ini ada diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu) membicarakan perihal alLa Mazhabiyyah secara khusus.

Berkata Imam al-Ghazali, "Bagi golongan awam adalah wajib mereka meminta pendapat dan mengikut (bertaqlid) dengan ulama. (Kitab: al-Mustasfa).

Jika mereka mendakwa dan mendabik dada dengan dakwaan mereka hendak mengikut al-Quran dan sunah Rasulullah SAW saja, maka ketahuilah ulama muktabar terdahulu beribu-ribu kali ganda lebih memahami dan mengenali sesuatu dalil itu sebelum mengeluarkan sebarang hukum.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barang siapa yang mengambil ilmu (warisan ilmu) itu, ia sudah mengambil habuan yang paling sempurna." (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Mereka hanya berpegang dan menganggap pendapat mereka saja yang betul walaupun hakikatnya mereka tidak memahami dalil maksum. Golongan ini turut merasakan mereka sajalah yang mengikuti al-Quran dan sunah iaitu sumber utama untuk mengeluarkan hukum, lantas mengatakan sesiapa tidak mengikut pendapat mereka adalah jumud, tidak tajdid, tidak ilmiah dan tidak memahami dalil. Adakah mereka juga maksum seperti Rasulullah SAW?

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi: "Ya, benar kalian berpegang dengan nas maksum yang diwahyukan daripada Allah Taala tetapi kefahaman kamu terhadap nas itu bukanlah wahyu apatah lagi maksum, kalian hanya berpendapat berdasarkan zahir nas saja." (Kitab: Kaifa Nataamalu Maa Turath).

Mereka mendakwa imam ini cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat dibawa Rasulullah SAW kepada mazhab tajaan mereka sendiri. Golongan ini adalah pendukung slogan tertentu dengan selalu mengajak kepada perbahasan, perdebatan, pengkajian semula untuk menyokong pendapat mereka sendiri yang mengatakan ijtihad itu wajib dan taqlid itu haram.

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi: "Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutama di dalam ilmu hadis. Lantas merasakan mereka sudah pakar dalam ilmu padahal mereka belum pun menge-capi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, pada masa yang sama, ilmu bahasa Arab serta komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang.

"Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh! Hanya meneka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan Sesungguhnya mereka ini seperti kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu." (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd)

Kata-kata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi sememangnya benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia. Kita berani mengatakan jika kita bertanya kepada golongan ini, berapa banyakkah ayat al-Quran dan al-Hadis yang mampu mereka hafal dan fahami, kita yakin jawapan mereka ialah amat sedikit hafalan dan fahaman mereka walaupun memiliki segulung PhD.

Penulis ialah mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir dan boleh dihubungi melalui e-mel: shidi_buluh@yahoo.com dan blog: http://buluh.iluvislam.com.

5.12.09

Bagaimana Merayakan Idul Ghadir?

(http://telagahikmah.org)

Oleh: M. Ridha Jabbariyan

Hari ini, 18 Dzul-Hijjah kaum Muslimin merayakan sebuah hari raya, bahkan merupakan hari raya terbesar di antara hari-hari raya Islam, seperti Idul Fitri dan Idul Qurban. Hari itu adalah hari imamah, khilafah dan hari kesempurnaan agama dan kemanusiaan. Hari dimana Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib As dinobatkan sebagai imam dan khalifah kaum Muslimin pasca Rasulullah Saw. Hari itu dalam perjalanan sejarah kaum Muslimin dikenal sebagai hari Ghadir.

Apabila Ghadir bermakna kembalinya ingatan pada perubahan besar dalam sejarah umat manusia, di tengah budaya kaum Muslimin, hari Ghadir layak untuk diperingati sebagai hari raya akbar umat manusia khususnya bagi kaum Muslimin.

Lantaran perubahan besar dalam sejarah umat manusia berlangsung pada hari ini. Dan sebagaimana kita mendengar dari lisan riwayat, bahwa pada hari ini kesempurnaan agama dan kebahagiaan manusia telah distempel dan dijamin.

Seluruh agama-agama samawi, sebagai pendahulu agama Islam telah sempurna pada hari Ghadir. Dan Tuhan semesta alam (Rabbul ‘Alamin) telah rela dengan agama Islam.

Abdul Latif Rahbar: Kenapa perlu memilih mazhab? (Bahagian 3/4)

(Harakah Daily)

Abdul Latif Rahbar

Kita tidak berijtihad, tetapi kita memilih salah satu dari dua pendapat imam-imam. Bagaimana pula ini dikatakan sebagai ijtihad? Mengapa kita hanya perlu mengikut satu mazhab sahaja? Tidak bolehkah kita mencampur-adukkan semua pendapat dan memilih yang terbaik?

Menjawab persoalan di atas, ijtihad bermakna mengeluarkan pendapat. Apabila terdapat dua pendapat yang berlainan, memilih salah satu dari kedua pendapat itu juga dikira sebagai ijtihad. Ikhtilaf yang timbul antara mazhab hari ini sebenarnya adalah ikhtilaf dan perbezaan pendapat sejak zaman para sahabat lagi.

Sekiranya terdapat percanggahan pendapat antara dua sahabat, maka imam-imam akan terlebih dahulu meneliti yang mana satukah antara percanggahan tersebut yang lebih menepati syarak.

Hasilnya adalah ikhtilaf yang kita lihat pada hari ini. Imam Abu Hanifah lebih condong dalam memilih pendapat Ibnu Mas’ud misalnya dan Imam Syafie lebih kepada Ibnu Abbas. Tidaklah bermakna mereka tidak mengetahui pendapat sahabat-sahabat yang lain.

Jadi, apabila kita melihat terdapat dua pendapat yang berlainan, maka memilih salah satu ke atas yang lain juga dikira sebagai ijtihad kerana ini jualah amalan imam-imam mujtahid yang terdahulu. Dan untuk kita memilih salah satu dari pendapat tersebut kita mestilah mempunyai dalil dan nas yang cukup di samping mengetahui kesemua dalil dan nas, pro dan kontra masalah berkenaan.

Alasan bahawa kita tidak mengeluarkan pendapat dan masih berpegang kepada pendapat seseorang imam tanpa mengikut imam tersebut dalam lain-lain masalah adalah tidak dapat diterima sama sekali. Oleh itu sekiranya ada dalam kalangan kita yang mahu berbuat demikian, hendaklah dia fikirkan kesemua jawapan terhadap persoalan yang bakal dibangkitkan dari segi bahasa, usul, hadis dan lain-lain sebelum dia memilih untuk memilih sebarang pendapat kerana inilah yang telah dilakukan oleh mujtahid-mujtahid terdahulu.

Pernah satu ketika Khalifah Harun ar-Rashid mencadangkan kepada Imam Malik agar disatukan kesemua mazhab dan diambil yang terbaik. Jawapan Imam Malik ialah kesemua perbezaan pendapat adalah berdasarkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya diambil satu sahaja dari kesemua perbezaan tersebut dan ditinggalkan yang lain sedangkan ada kemungkinan yang ditinggalkan itu sebenarnya tepat maka seolah-olah kita meninggalkan sunnah Nabi s.a.w. Jadi tiada keperluan untuk menyatukan semua mazhab apabila kesemua sunnah Nabi s.a.w dapat diamalkan walaupun oleh berlainan puak.

Majoriti ummah pada hari ini membaca al-Quran dengan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim al-Kufi. Seperti yang diketahui umum, terdapat 10 qiraat hari ini yang masih boleh dibaca dalam solat. Di utara Afrika misalnya mereka membaca al-Quran dengan riwayat Qalun atau Warsh dari Imam Nafi’ Madani. Ulama qiraat mengatakan bahawa qiraat yang boleh dibaca pada hari ini hanyalah sepuluh dan setiap sepuluh qiraat tersebut mencapai darjat mutawatir (terlalu ramai bersepakat mengenai cara pembacaannya sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga kini sehingga mustahil untuk mereka berkomplot untuk menipu mengenainya).

Semua ahli qiraat bersetuju bahawa diperbolehkan untuk membaca kesemua qiraat dalam satu tilawah dengan cara kita membaca setiap ayat beberapa kali di samping mengkhatamkan setiap cara bacaan. Ataupun kita kumpulkan kesemua qiraat tanpa mengulang ayat tersebut berulang kali, sebaliknya menghabiskan setiap qiraat terhadap setiap perkataan. Untuk memahami hal ini lebih lanjut kita bolehlah mendengar tilawah dari Syeikh Abdul Basit atau dari bacaan Syeikh Na’ina misalnya.

Pun begitu ahli qiraat mengatakan ketika tilawah tidak dibolehkan membaca satu ayat dalam sesuatu qiraat, kemudian membaca ayat yang berikutnya dalam qiraat yang lain kerana perkara ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak. Hal ini disepakati oleh semua sama ada pihak yang bermazhab atau selainnya. Jadi sekiranya kita tidak boleh mengambil qiraat dan membacanya bercampur-aduk dengan sesuka hati, bagaimana pula kita boleh mencampur-adukkan pendapat antara mazhab sesuka-hati?

Mengapa golongan yang tidak bermazhab dalam bidang fiqh bertaqlid dengan Imam Hafs dan Imam ‘Asim dalam bidang qiraat? Mengapa tidak mengatakan bahawa Imam ‘Asim tidak pernah memaksa sesiapun untuk bertaqlid dengan beliau? Mengapa soalan-soalan yang sering diutarakan dalam perbahasan fiqah langsung tidak pernah diutarakan dalam ilmu qiraat?

Sekiranya kita berpendapat perlu kita bertaqlid dengan Imam qiraat, maka tidak dapat tidak kita juga mesti bertaqlid dengan imam-imam mujtahidin.