1.12.09

Lapan mesej Haji Wida'

(Utusan Malaysia)


Mohd. Salahuddin Mohamed


Apakah inti pati haji wida' itu? SALAHUDDIN: Sebenarnya terdapat lapan perkara utama yang disebutkan oleh baginda SAW dalam khutbah tersebut. Saya akan menyebutnya secara ringkas di situ. Pertama, pengharaman riba kerana berkaitan dengan masalah ekonomi umat.

Riba pertama yang diharamkan oleh baginda adalah yang diterima oleh bapa saudaranya, Abbas Abdul Mutalib.

Ini menunjukkan dalam melaksanakan hukum Allah, tidak boleh pilih kasih. Sebaliknya ia perlu bermula daripada keluarga sendiri.

Kedua, perlindungan jiwa manusia. Ia disebut untuk mengelak kita daripada jangan senang-senang hendak mencabut atau membunuh orang. Sebab itu diturunkan ayat tentang qisas dalam surah al-Baqarah ayat 179.

Tuntutan hutang darah di zaman jahiliah (sebelum Islam) telah diampunkan. Kata Nabi SAW, tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi'ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

Ketiga, menghindari peperangan. Islam adalah agama yang sejahtera yang membenci perang kecuali setelah terpaksa bagi mempertahankan agama, negara dan diri.

Keempat, kesamarataan hak wanita. Sabda Nabi, Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah.

Ini juga bermakna, isteri itu adalah amanah Allah kepada suami dan mereka juga mempunyai hak tertentu seperti yang ditetapkan oleh Islam.

Kelima, menghalang penindasan. Hal ini banyak berlaku sekarang. Pendek kata, Nabi berpesan supaya jangan kita menyalah gunakan kuasa untuk menindas orang lain.

Keenam, persamaan nilai kemanusiaan. Islam tidak meletakkan orang Arab lebih istimewa daripada orang ajam (bukan Arab). Warna kulit bukan pengukur sebaliknya tahap keimanan dan ketakwaan seseorang yang menentukan kedudukannya di sisi Allah.

Ini sebagaimana sabda nabi SAW yang bermaksud, "Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah..."

Ketujuh, banteras sistem monopoli. Umat Islam kini perlu mencari jalan menghapuskan sistem ini jika ia wujud.

Para ulama berkata, suatu hari nanti kamu kena berhati-hati dengan monopoli. Antara contohnya, pasar raya besar kini mengambil alih kedai-kedai runcit menyebabkan peniaga kecil sukar mencari makan. Monopoli akan menghakis rasa kasih sayang.

Kelapan, al-Quran dan sunnah sebagai panduan. Nabi meninggalkan dua khazanah ini kepada umat Islam.

Sabda Nabi yang bermaksud: Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

Mutakhir masih ada golongan wanita yang memperjuangkan emansipasi. Adakah benar Islam mendiskriminasi wanita?

SALAHUDDIN: Dakwaan itu tidak tepat. Islam meletakkan lelaki dan wanita itu sama kedudukannya. Ini dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 35.

Dalam ayat tersebut antara lain Allah menjelaskan bahawa orang lelaki dan wanita yang beriman itu sama-sama mendapat pengampunan dan pahala yang besar.

Sebaliknya kalau kita perhatikan khutbah Nabi SAW itu tadi, dijelaskan wajib bagi suami menjaga kehormatan isteri jangan dizalimi atau merendah-rendahkan mereka.

Waima jika bertengkar sehingga ke tahap perlu menghukum, suami dilarang memukul sehingga mencederakan. Yang dimaksudkan memisahkan tempat tidur bagi isteri yang ingkar itu bukanlah tidur berasingan tetapi tidur dengan membelakangkan isteri.

Sebab itu, kita disuruh bermusyawarah dengan isteri untuk mencapai kesepakatan. Kita disuruh berbuat baik dan memberi layanan mesra kepada isteri selagi mana mereka setia dan jujur melaksanakan perintah Allah.

Dari segi memikul tanggungjawab, kaum wanita juga memainkan peranan mencegah kemungkaran. Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dan orang lelaki dan perempuan yang beriman itu setengahnya menjadi penolong kepada setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan...(at-Taubah: 71)

Dalam hal masuk syurga pun tidak disebut lelaki masuk dahulu daripada wanita. Ini boleh dirujuk dalam firman Allah dalam ayat 195 surah ali-'Imran yang antara lain menyebut Allah tidak akan mensia-siakan amal soleh lelaki dan perempuan. Pada akhir ayat itu dijelaskan Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa syurga sebagai pahala di sisi-Nya.

Nabi SAW sudah mengingatkan umatnya tentang berbuat adil dan jangan menindas. Apa pengajarannya?

SALAHUDDIN: Memang kita disuruh berlaku adil dalam kehidupan bermasyarakat. Jangan gunakan kuasa kita untuk menindas orang lain.

Saidina Umar semasa melantik kakitangan kerajaan ada menulis watikah bahawa mereka itu adalah wakil kepada rakyat. Justeru, hendaklah menjalankan tugas dengan sebaiknya. Jika mereka (rakyat) datang hendaklah kamu melayan dengan baik.

Rasulullah SAW juga melarang keras perbuatan memperkosa harta atau hak orang lain. Sebabnya ia memberi kesan yang amat buruk.

Kerajaan Fathiniah misalnya, hanya menyedari kepentingan menunaikan hak rakyat seperti membina sekolah dan hospital di saat kerajaan mereka jatuh. Sayangnya, semua itu sudah terlambat.

Kesan daripada penganiayaan akan membawa kepada pemberontakan dan demonstrasi yang akan menggugat keamanan sesebuah negara.

Dalam realiti semasa, umat Islam perlu menguasai ekonomi untuk maju. Dengan demikian, barulah kita boleh keluar daripada status Negara Dunia Ketiga.

Nabi berpesan agar umatnya sentiasa patuh kepada al-Quran dan sunah untuk elak daripada sesat. Demikian juga dengan mafhum Allah bahawa kaum muslimin itu adalah bersaudara. Namun, masih timbul juga pertelingkahan dan perpecahan dalam umat Islam. Bagaimana mengatasi hal ini?

SALAHUDDIN: Imam al-Ghazali berkata, Nabi SAW bimbang umatnya kelak akan berhadapan dengan serangan yang akan merobohkan prinsip-prinsip Islam. Ia datang daripada musuh-musuhnya dan juga dari luar.

Hari ini, kita dapati banyak buku yang dibawa masuk dari luar. Oleh itu, kita perlu merujuk ia kepada al-Quran dan sunah untuk elak disesatkan oleh bahan tersebut.

Kedua, nabi juga bimbang pada akhir zaman, berlaku kekacauan ilmu dan amaliah sehingga menjadikan kita kepada sifat berlebihan atau ekstrem. Sedangkan kita disuruh bersederhana.

Ketiga, bimbang penyimpangan mengatasi kebenaran. Ini adalah penyakit dari segi ilmu. Ia melibatkan rasa riak. Apabila berlaku perselisihan, kita tidak mencari penyelesaian.

Saya menyarankan kita mengambil pandangan ulama seperti Sheikh Rashid Redza. Kata beliau, sepakat kita saling bekerjasama dalam hal persetujuan dan saling faham memahami kita dalam perkara yang berselisih atau berbeza.

Sebab itu, adalah malang apabila kita melihat insiden pengeboman di Pakistan. Marahkan orang lain, rakyat biasa yang menjadi mangsa pengeboman.

Walhal, Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya, "tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan orang Muslim yang lainnya". (riwayat Abu Daud).

Sebab itu, perlu kita berlapang dada menerima perbezaan pendapat dalam hal-hal furu'.

Kita perlu bertanya, banyaknya persatuan Islam itu ke mana semua hendak pergi. Kalau ia menghala ke arah kebaikan Islam, maka teruskan tetapi jangan sampai mentakfirkan (mengkafirkan) umat Islam.

Mujtahid perlu faham manfaat dan mudarat

(Utusan Malaysia)


Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid


MALAYSIA mengamalkan Mazhab Syafie dan ia telah diwartakan sebagai mazhab rasmi dalam hampir semua perlembagaan dan undang-undang negeri.

Justeru, majoriti umat Islam menggangap mereka mesti mengamalkan mazhab tersebut secara tegar tanpa bertolak ansur, walaupun ada keperluan munasabah yang membenarkan.

Namun, dalam beberapa aspek seperti ibadat haji dam zakat, kelonggaran untuk menerima pandangan lain telah diperakukan.

Dalam Islam, semua hukum itu yang terangkum dalam maqasid syariah atau matlamat syariah tertakluk kepada prinsip maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) bagi manusia.

Maqasid syariah adalah memelihara lima perkara iaitu menjaga agama, akal, nyawa, harta dan keturunan (maruah)

Konsep maslahah itu maksudnya, semua perbuatan manusia yang boleh membawa kebaikan hukumnya halal atau sebaliknya. Sementara apa yang membawa kepada keburukan hukumnya haram atau sebaliknya.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, berasaskan kepada prinsip inilah para fuqaha berpendapat, "bila ada maslahah di situ ada hukum".

Maksudnya, hukum selama-lamanya ditentukan oleh maslahah dan kepentingan hidup umat manusia.

Bagaimanapun, kata beliau, bukan semua fuqaha berpendirian sedemikian. Malah ada di antara mereka yang menolak konsep maqasid syariah secara total.

Bagi mereka, konsep ini memberi erti setiap hukum perlu ada asas yang boleh ditanya mengapa yang disebut al-ta'lil (menentukan alasan) dalam usul fiqh.

"Maka oleh kerana hukum itu dicipta oleh Allah ia akan bererti Allah boleh ditanya mengapa dan apa objektif serta tujuan mencipta hukum berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ijtihad, Taklid dan Talfiq dari Perspektif Maqasid al-Syariah' dalam seminar Taklid, Ijtihad dan Talfiq: Skop, Amalan dan Batasan baru-baru ini.

Ia dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Seminar sehari setengah itu dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Objektif seminar antara lain adalah mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor-faktor yang mendorong kemunculan dan penggunaannya.

Ia juga bagi meningkatkan kefahaman tentang objektif undang-undang Islam dan menegaskan bahawa ia sesuai untuk semua keadaan, tempat dan zaman.

Sebanyak 11 kertas kerja dibentangkan termasuk pengalaman amalan talfiq dan taklid di Indonesia dan Brunei.

Seminar yang mendapat sambutan menggalakkan itu turut menarik penyertaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid.

Menurut Mahmood Zuhdi, bagi merealisasikan maqasid syariah sebagai pendekatan dalam berijtihad seseorang mujtahid atau penyelidik perlu memahami dengan mendalam maksud manfaah (manfaat) dan madharrah (mudarat).

Katanya, mereka juga perlu objektif dalam membuat penilaian melalui merujuk keseluruhan hukum syarak dan kemudian merumuskan prinsip dalam bentuk yang menyeluruh.

"Ini supaya kemudiannya mudah diaplikasi apabila berhadapan dengan persoalan yang memerlukan penentuan sama ada perbuatan itu boleh dikelaskan kebaikan atau keburukan," jelas beliau.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, walaupun undang-undang syariah berpaksikan wahyu, banyak ruang diberi kepada manusia untuk menggunakan akal fikiran secara bebas bagi mencapai kesempurnaan dalam perundangan.

"Para fuqaha dan mufti perlu menjadi pelopor kepada penerokaan dan pengembangan hukum syarak agar sejajar dengan peredaran masa dan tempat," katanya yang bertugas sebagai Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara.

Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya bertajuk 'Beberapa Manifestasi Penggunaan Ijtihad dan Talfiq Dalam Peruntukan-peruntukan Statut Moden di Malaysia'.

Menurut Sheikh Ghazali, dalam peruntukan undang-undang di Malaysia, ijtihad dan talfiq banyak digunakan dan penggunaannya agak meluas.

Sebagai contoh, dalam pembubaran perkahwinan. Kuasa mahkamah untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh kerana berlakunya dhirar terhadap isteri adalah satu bentuk talfiq kerana mengambil pandangan Mazhab Maliki.

"Sedangkan dalam Mazhab Syafie pembubaran perkahwinan melalui fasakh atas alasan dhirar tidak dibolehkan," jelas beliau.

Sheikh Ghazali turut menekankan kepentingan ijtihad dan talfiq dalam produk-produk perbankan Islam dan takaful.

Katanya, banyak produk telah diperkenalkan dalam sistem perbankan Islam dan takaful di Malaysia yang berdasarkan beberapa mazhab tanpa berpegang kepada Mazhab Syafie sahaja.

"Justeru, Ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah di institusi perbankan boleh dianggap sebagai mujtahid yang bertanggungjawab melakukan ijtihad dengan mengkaji pandangan ulama terdahulu atau mencari pandangan yang terbaik daripada pandangan-pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Pegawai Istinbat Kanan Jabatan Mufti Brunei Darussalam, Awang Dennie Abdullah berkata, mengikut disiplin mazhab tidak dibolehkan dan dianggap tidak sah berfatwa dengan pendapat ulama-ulama dari mazhab lain.

Katanya, walaupun Mufti Mazhab Syafie tidak boleh berfatwa dengan mazhab lain, bukan semua persoalan semestinya berdasarkan fatwa Mazhab Syafie.

Menurut beliau, Ada beberapa perkara yang dikecualikan dalam keadaan tertentu termasuk ketika berpindah mazhab.

"Misalnya, dalam persoalan zakat ada tiga perkara yang boleh berfatwa dengan mazhab lain yakni Mazhab Hanafi.

"Yang pertama, persoalan memindahkan zakat. Kedua, memberi zakat seseorang kepada satu asnaf sahaja dan ketiga, memberi zakat seseorang kepada seorang saja," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk 'Taklid-Talfiq di Negara Brunei Darussalam: Keperluan dan Pengalaman'.

Awang Dennie berkata, persoalan taklid kepada pendapat ulama-ulama Mazhab Syafie di Brunei masih berlaku dan masih relevan serta diperlukan.

Namun, kata beliau, sesetengah perkara yang berbangkit ada juga yang tidak jelas kewujudan hukumnya dalam kajian dan ijtihad itu, seperti dalam persoalan muamalat.

"Jadi, ketika ini akan dibincangkan tentang hukumnya oleh beberapa orang tetapi tetap juga merujuk hasil kajian dan ijtihad daripada pelbagai sudut," katanya.

Saddam Hussein 'muncul' semula

(Utusan Malaysia)


IMEJ yang dipetik dari siaran televisyen al-Lafeta menunjukkan wajah Saddam Hussein dengan ayat 'hunuskan pedangmu' yang disiarkan pada Sabtu lalu. -AP


BAGHDAD 30 Nov. - Sebaik-baik menghidupkan televisyen semasa cuti panjang hujung minggu, rakyat Iraq dikejutkan dengan wajah yang biasa lihat sebelum ini, tetapi tidak menjangka muncul semula: Saddam Hussein.

Wajah bekas Presiden Iraq itu ditayangkan oleh sebuah saluran satelit misteri yang memulakan siaran pada ulang tahun mengikut tahun Islam pada hari Saddam dihukum gantung sampai mati pada 2006.

Tiada siapa tahu pihak yang membiayai 'Saluran Saddam', namun kerajaan Iraq mengesyaki ia didalangi bekas anggota Parti Baath yang pernah dipimpin Saddam.

The Associated Press berjaya menjejaki seorang lelaki di Damsyik, Syria bernama Mohammed Jarboua yang mendakwa dirinya sebagai pengerusi saluran berkenaan.

Katanya, saluran Saddam itu 'tidak menerima satu sen pun daripada anggota Baath' dan diwujudkan untuk rakyat Iraq dan penduduk Arab yang 'merindui pemerintahannya'.

Jarboua telah berusaha menyembunyikan lokasi siaran dan enggan menyatakan pihak yang memberi dana kecuali memberitahu 'orang yang menyayangi kami'.

Rakyat Iraq berbelah-bahagi apabila mendapati Saddam muncul di kaca televisyen.

"Kami tidak memerlukan saluran satelit seperti ini kerana ia mempunyai niat jahat," kata Hassan Subhi, 28, seorang Syiah yang memiliki kafe siber di timur Baghdad.

Namun, sesetengah yang lain menganggapnya satu nostalgia kepada pemimpin mereka yang berasal dari puak Sunah.

"Seluruh keluarga kami berasa sedih," kata seorang guru sekolah di barat Baghdad, Samar Majid, merujuk kepada gambar Saddam menjalani hukuman gantung sampai mati dan gambar-gambar dua anak lelaki dan cucunya.

Saluran yang disiarkan di seluruh dunia Arab itu memperlihatkan perpecahan puak ketika Iraq sedang menuju untuk mengadakan pilihan raya umum.

Ahli-ahli politik sedang berdebat mengenai agihan kerusi Parlimen dalam pertikaian yang memarakkan api perpecahan. Hal ini akan menangguhkan lagi proses demokrasi itu ke satu tarikh melebihi 30 Januari yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Saddam digantung tiga tahun lalu pada Hari Raya Aidiladha, antara hari sambutan penting umat Islam. Saluran Saddam mula membuat kemunculan pada Jumaat lalu, dengan menonjolkan montaj imej Saddam beruniform, memakai sut, malah satu daripadanya ketika beliau sedang menunggang seekor kuda putih.

Antara gambar lain adalah anak lelaki Saddam, Odai dan Qusai tersenyum di hadapan bapa mereka, sebelum disusuli dengan imej mayat mereka bergelimpangan selepas dibunuh pada Julai 2003 dalam pertempuran bersenjata dengan tentera AS. - AP

Mufti Mesir kecam pungutan suara hina Islam

(Utusan Malaysia)

KAHERAH 30 Nov. - Mufti Mesir, Ali Gomaa mengutuk keputusan pungutan suara di Switzerland semalam yang mengharamkan pembinaan menara baru masjid dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Gomaa, bagaimanapun menyeru umat Islam supaya jangan melatah dengan keputusan yang disifatkan oleh beliau sebagai provokasi itu.

Majoriti besar pengundi di Switzerland memilih untuk mengharamkan pembinaan menara baru masjid dalam satu pungutan suara anjuran sebuah parti berhaluan kanan, semalam.

"Usul ini bukan sahaja dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan beragama tetapi juga percubaan untuk menyinggung perasaan umat Islam di Switzerland dan luar negara," kata Gomaa kepada agensi berita rasmi, MENA hari ini.

Beliau menggesa 400,000 penduduk Islam di Switzerland supaya menggunakan saluran 'dialog' dan undang-undang untuk mencabar pengharaman tersebut yang beliau gambarkan sebagai 'perbuatan provokasi'.

Parti terbesar di Switzerland, Parti Bangsa Swiss (SVP) yang berhaluan kanan telah memaksa pungutan suara diadakan selepas memenuhi syarat dengan berjaya memungut 100,000 tandatangan daripada pengundi yang layak dalam tempoh 18 bulan lalu.

Gomaa turut menyeru umat Islam supaya jangan terpengaruh dengan 'provokasi itu' dan menegaskan bahawa Islam 'menganggap umat manusia sebagai sebuah keluarga'.

Mesir ialah negara Arab yang mempunyai penduduk paling ramai dan berada di barisan hadapan dalam melancarkan tindak balas terhadap Denmark pada 2006 selepas sebuah akhbar Denmark menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW. - AFP

Iran susun struktur tentera laut

(Utusan Malaysia)


DUA imam berbual dengan pegawai tentera Iran di hadapan peluru berpandu permukaan ke udara, Hawk semasa latihan Pertahanan Velayat dekat bandar Arak, 290 km dari Teheran pada 23 November lalu. – REUTERS


WASHINGTON 30 Nov. – Iran menyusun semula struktur tentera lautnya bagi memberi satu cabang Kor Pengawal Revolusi tanggungjawab penuh terhadap operasi di Teluk Parsi, sekiranya meletus konflik.

Menurut kajian Jabatan Perisikan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), penempatan banyak bot penyerang laju dan peluru berpandu di kawasan Selat Hormuz dan Teluk Parsi oleh Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi (IRGCN) ‘meningkatkan keupayaan aset tentera laut Iran untuk membantu memantapkan lagi strategi pertahanan Iran yang berlapis-lapis’.

Pengawal Revolusi Iran beransur-ansur meningkatkan keupayaan tentera lautnya sejak beberapa tahun lalu dengan menggabungkan reka bentuk dan teknologi dari China, Korea Utara dan Itali.

Kor elit itu, kini menempatkan antara bot tentera laut paling laju di Teluk Parsi dan dilaporkan mahu membina atau membeli bot tentera laut ‘tanpa pemandu’, menurut kajian bertarikh Ogos 2009 itu.

Sebagai sebahagian penyusunan semula yang bermula pada 2007, Tentera Laut Republik Islam Iran (IRIN) telah mengerahkan aset tentera lautnya sendiri ke perairan lebih jauh di Teluk Oman.

Penilaian mengenai keupayaan baru tentera laut Iran itu disiarkan ketika ketegangan semakin meningkat di Republik Islam ini dengan kuasa-kuasa besar berhubung program nuklearnya.

Iran semalam mengumumkan rancangan untuk membina 10 loji baru pengayaan uranium bagi membesarkan program tenaga atomnya, hanya dua hari selepas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengkritiknya kerana menjalankan kegiatan seumpama itu.

Kajian AS itu memetik kenyataan terbuka para pemimpin Iran sebagai berkata, mereka akan bertindak balas terhadap sebarang provokasi dengan ‘menimbangkan untuk menutup atau menguasai Selat Hormuz, dengan itu menutup hampir 30 peratus daripada bekalan minyak dunia’.

“Menutup Selat Hormuz akan mendatangkan kerosakan ekonomi besar terhadap Iran yang tentunya tidak akan mengambil langkah tersebut dengan sewenang-wenangnya,” menurut kajian itu dengan menambah kata, menyekat aliran lalu lintas atau mengancam untuk berbuat demikian boleh menjadi alat berkesan bagi Iran. – REUTERS